JOHOR PERKENAL PENDEKATAN LESTARI URUS PEMBANGUNAN PUSAT DATA

Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan garis panduan pembangunan pusat data yang menetapkan piawaian tinggi melibatkan aspek kecekapan tenaga, penggunaan air, teknologi penyejukan dan kelestarian alam sekitar selaras dengan amalan terbaik global. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus menekankan kepentingan pembangunan pusat data secara mampan menerusi pelbagai pendekatan strategik bagi memastikan pertumbuhan industri digital di negeri ini tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat serta kelestarian sumber alam.

 

Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan garis panduan pembangunan pusat data yang menetapkan piawaian tinggi melibatkan aspek kecekapan tenaga, penggunaan air, teknologi penyejukan dan kelestarian alam sekitar selaras dengan amalan terbaik global.

 

Pendekatan tersebut dilaksanakan susulan perkembangan pesat industri pusat data di Johor yang kini melibatkan 65 projek dengan 20 projek telah beroperasi, lapan dalam fasa pelaksanaan, manakala 37 lagi berada di pelbagai peringkat perancangan dan kelulusan lanjut.

 

Setakat Mac lalu, penggunaan elektrik sebenar bagi 20 projek yang telah beroperasi mencecah sekitar 919.97 megawatt (MW), manakala kapasiti yang telah diluluskan bagi 28 projek pusat data di negeri ini mencapai 5,628 MW.

 

Johor turut mengambil pendekatan proaktif menerusi pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta pelaksanaan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bagi menyokong keperluan tenaga pusat data secara lebih lestari, mampan dan berdaya tahan pada masa hadapan.

 

Kerajaan Johor juga memperkenalkan pendekatan Johor Special Water (JSW) sebagai langkah strategik bagi memastikan keperluan air untuk sektor industri khususnya pembangunan pusat data dapat diurus secara mampan tanpa menjejaskan bekalan serta keperluan asas rakyat di negeri ini.

 

Justeru, pembangunan sektor pusat data bukan sekadar untuk menarik pelaburan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem ekonomi digital bernilai tinggi melibatkan sektor kecerdasan buatan (AI), fintech, automasi industri dan teknologi maju.

 

Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#DewanNegeriJohor
#PusatData
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor