JOHOR SASAR 5,000 PENSIJILAN HALAL MENJELANG 2030

Sasaran tersebut turut merangkumi pembangunan 20 Halal Champions dan 4,000 tenaga mahir halal bagi menyokong pertumbuhan ekosistem halal yang lebih mampan, berdaya saing dan berimpak tinggi kepada ekonomi negeri. | Foto PIJ Halal Ventures
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor menyasarkan sebanyak 5,000 pensijilan halal dapat dicapai menjelang tahun 2030 menerusi Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 (PKHNJ 2030) dalam usaha memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai antara peneraju industri halal terkemuka di negara ini.
Sasaran tersebut turut merangkumi pembangunan 20 Halal Champions dan 4,000 tenaga mahir halal bagi menyokong pertumbuhan ekosistem halal yang lebih mampan, berdaya saing dan berimpak tinggi kepada ekonomi negeri.
Bagi merealisasikan agenda berkenaan, pelbagai inisiatif pembangunan usahawan terus dilaksanakan, termasuk menerusi Program Halal Sukses Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Negeri Johor yang memberi fokus kepada pembangunan kapasiti usahawan tempatan.
Sehingga kini, seramai 10 usahawan halal Johor berjaya menerima geran bantuan KUSKOP sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) halal di negeri ini.
Program yang menghimpunkan 250 peserta terdiri daripada usahawan, wakil agensi kerajaan serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) itu turut menampilkan pelbagai pengisian bernilai tambah termasuk klinik halal, bengkel pemasaran digital, sesi pembiayaan perniagaan dan program pengantarabangsaan usahawan.
Selain membantu usahawan memperoleh pensijilan halal, program berkenaan turut membuka akses kepada pembiayaan, pemasaran digital, padanan perniagaan dan peluang eksport yang berpotensi meningkatkan jualan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Johor.
Melalui PKHNJ 2030, Kerajaan Johor turut menetapkan sasaran sumbangan RM24 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor halal negeri, RM18 bilion nilai eksport halal, RM5 bilion pelaburan terkumpul serta RM62 bilion jumlah keluaran industri berkenaan menjelang tahun 2030.
#JohorSafeZone
#PKHNJ
#HalalJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


