JOHOR UJI LALUAN KONTRA FT005 TINGKAT KELANCARAN TRAFIK

Pelaksanaan laluan kontra mengoptimumkan kapasiti jalan sedia ada bagi mengurangkan kesesakan ke pusat bandar tanpa memerlukan ruang penambahan jalan baharu. | Foto FB Fazli Salleh
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor melaksanakan projek percubaan laluan kontra di Jalan Persekutuan FT005 bagi meningkatkan kelancaran trafik di koridor Skudai-Johor Bahru khususnya pada waktu puncak.
Projek ini melibatkan jajaran dari Pintu Gerbang Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) hingga Bandar Baru UDA dan beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 5.30 pagi hingga 9.00 pagi di mana laluan berkenaan dikhaskan untuk kenderaan ringan sahaja.
Pelaksanaan laluan kontra dibuat susulan jumlah kenderaan yang menghala ke pusat bandar pada waktu pagi jauh lebih tinggi berbanding arah bertentangan sekali gus membolehkan kapasiti jalan sedia ada dimanfaatkan dengan lebih optimum tanpa memerlukan penambahan ruang jalan baharu.
Tempoh percubaan akan berlangsung selama dua hingga tiga minggu dengan pasukan teknikal menilai beberapa indikator utama termasuk perubahan tempoh perjalanan, kelancaran aliran trafik, tahap keselamatan serta maklum balas pengguna jalan raya.
Sekiranya penilaian menunjukkan impak positif, pendekatan tersebut boleh dipertimbangkan sebagai antara penyelesaian bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di koridor Skudai-Johor Bahru.
Kerajaan Negeri merakamkan penghargaan kepada semua pengguna jalan raya atas kerjasama dan kesabaran sepanjang tempoh percubaan selain mengalu-alukan pandangan serta pemerhatian bagi menambah baik pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan satu lorong tambahan, sebaliknya memastikan setiap ruang jalan dimanfaatkan dengan lebih cekap bagi mewujudkan perjalanan yang lebih lancar, selamat dan efisien untuk Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#LaluanKontra
#FT005
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


