KASIHNYA TUNKU MAHKOTA ISMAIL KEPADA RAKYAT


DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan menyampaikan sumbangan peribadi dan sentiasa cakna terhadap kebajikan Bangsa Johor. | Foto JOHOR Southern Tigers

 

Kasihnya DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor kepada rakyat tidak ternilai apabila Baginda tidak pernah jemu menekankan soal berkaitan fasiliti kesihatan awam di negeri ini, demi kesejahteraan rakyat.

 

Keprihatinan Pemangku Sultan Johor mewarisi kemuliaan sifat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang senantiasa cakna terhadap kebajikan Bangsa Johor.

 

Dr. Selahuddeen Abd. Aziz, bekas Pengarah Kesihatan Negeri Johor mengimbau kembali kenangan saat keberangkatan DYAM Tunku Mahkota Ismail ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada tahun 2018 bagi meninjau sendiri operasi hospital berkenaan dan menyantuni rakyat jelata.

 

Ketika itu, Pemangku Sultan Johor juga berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada tiga hospital di negeri ini termasuk HSA, Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai dan Hospital Kota Tinggi bagi membeli peralatan tambahan rawatan.

 

Malah, sumbangan peribadi Baginda disifatkan Selahudden sebagai tanda kasih dan sayang serta keprihatinan kepada kualiti perkhidmatan kesihatan apatah lagi Keluarga DiRaja Johor sering mengurniakan sumbangan menerusi Yayasan-Yayasan Diraja Johor.

 

Di samping itu, kecaknaan DYAM Tunku Mahkota Ismail terhadap keadaan persekitaran kawasan HSA juga menarik perhatian Selahuddeen apabila Baginda secara terus menyumbang RM100,000 bagi menaik taraf taman permainan kanak-kanak di hospital berkenaan demi keselesaan golongan terbabit.

 

Kemuliaan hati DYAM Tunku Mahkota Ismail turut diperlihatkan semasa insiden pencemaran Sungai Kim-Kim apabila Baginda telah berangkat ke HSA bagi melawat mangsa pencemaran sisa kimia itu dan turut memberi semangat serta motivasi bukan sahaja kepada pesakit malah petugas kesihatan.

 

Selahuddeen menzahirkan kesyukuran dan menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor kerana sentiasa memperjuangkan cadangan bagi membina sebuah lagi hospital bagi menampung kesesakan pesakit di HSA yang kini semakin menjadi kenyataan berikutan pembinaan HSA 2 di Kempas.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor