KEPIMPINAN DYAM TUNKU MAHKOTA ISMAIL BINA MENTALITI JUARA JDT

Kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terus menjadi asas pembentukan mentaliti juara Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila pasukan Harimau Selatan itu berjaya melakar rekod dunia baharu dengan rentetan 109 perlawanan liga berturut-turut tanpa kalah di laman sendiri. | Foto FB Onn Hafiz
#IskandarPuteri – Kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terus menjadi asas pembentukan mentaliti juara Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila pasukan Harimau Selatan itu berjaya melakar rekod dunia baharu dengan rentetan 109 perlawanan liga berturut-turut tanpa kalah di laman sendiri.
Pencapaian itu hadir selepas JDT menewaskan Kuching City FC 3-0 dalam aksi pembukaan Liga Super Malaysia 2026/2027 di Stadium Sultan Ibrahim semalam, sekali gus mengatasi rekod 108 perlawanan yang sebelum ini dipegang oleh ASEC Mimosas dari Ivory Coast sejak 1994.
Rekod tersebut mencerminkan hasil perancangan tersusun, disiplin, mentaliti juara serta standard tinggi yang diterapkan secara berterusan dalam pembangunan JDT, jelas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Kepimpinan DYAM Tunku Mahkota Ismail selaku Pemilik JDT turut menjadi pemacu kepada pembentukan ekosistem bola sepak yang menekankan pencapaian, konsistensi dan usaha untuk terus berada pada tahap tertinggi.
Mentaliti juara yang dibentuk dalam pasukan turut diterjemahkan menerusi komitmen barisan pemain, barisan kejurulatihan dan pengurusan kelab dalam mengekalkan standard tinggi bagi menghadapi setiap cabaran domestik dan antarabangsa.
Kejayaan itu turut mendapat sokongan padu penyokong setia Harimau Selatan yang terus memainkan peranan mereka sebagai pemain ke-12 dalam memberikan sokongan dan semangat kepada pasukan.
Pencapaian bersejarah tersebut bukan sahaja mengukuhkan kedudukan JDT dalam bola sepak antarabangsa, malah pada masa yang sama turut mengangkat nama Johor dan Malaysia menerusi rekod dunia yang berjaya dicipta.
#JohorSafeZone
#JDT
#LuaskanKuasamuJohor
#SukanMDJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


