KERAJAAN JOHOR PRIHATIN ISU EKSPLOITASI ORANG ASLI


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor peka dan prihatin terhadap eksploitasi dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab kepada Orang Asli di Negeri Johor.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri mendapat pelbagai aduan mengenai ekploitasi dibuat terhadap Orang Asli bagi kepentingan peribadi.

 

“Antaranya adalah penerokaan secara tidak sah tanah-tanah rizab Orang Asli di Negeri Johor yang dibangunkan bagi tujuan hasil komersial. Orang Asli juga sering digunakan sebagai jurupandu untuk memburu hidupan liar yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaaan Hidupan Liar.

 

“Tidak cukup dengan itu, ada Orang Asli yang digunakan untuk mengekstraktasi hasil hutan secara haram seperti kayu gaharu dan logam-logam bernilai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Onn Hafiz berkata, oleh itu, kerajaan negeri mengingatkan bahawa negara mempunyai undang-undang yang akan terus digunakan bagi melindungi serta menjaga hak Orang Asli.

 

Antara undang-undang yang digunapakai adalah Akta Orang Asli 1954 (Akta 134); Enakmen Tanah Kesultanan 1934; Kanun Tanah Negara (Akta 828); Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Kaedah-Kaedah Tanah Johor 1966.

 

“Kerajaan negeri menjunjung titah dan menyokong sepenuhnya titah DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar semasa merasmikan pembukaan penggal persidangan kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 pada 16 Mac 2023 yang lalu.

 

“Tuanku Sultan bertitah bahawa semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli diletakkan di bawah ‘Sultanate Land’ supaya tidak ada mana-mana pihak yang boleh berbuat sesuka hati,” katanya.

 

Beliau memberitahu, mana-mana kawasan yang telah diwartakan sebagai ‘Sultanate Land’ bukan bermaksud tanah itu milik peribadi Sultan.

 

Sebaliknya, tanah itu dilindungi oleh Sultan supaya tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan rizab tersebut.

 

“DYMM Tuanku adalah ‘custodian’ kepada tanah rizab ini bagi terus menjaga hak dan kepentingan Orang Asli di Negeri Johor. Orang Asli Johor boleh menggunakan dan menikmati hasil hutan seperti yang termaktub dalam Akta Orang Asli 1954.

 

“Sejarah telah membuktikan bahawa semenjak pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar lagi dan sebelum wujudnya Akta Orang Asli 1954, kedudukan dan penempatan Orang Asli di Negeri Johor telah dijaga dan dibela oleh Kesultanan Johor,” katanya.

 

Justeru, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri berharap tiada mana-mana pihak cuba mempertikaikan dan mengelirukan Orang asli lagi.

 

“Janganlah menangguk di air yang kerus dan memutarbelitkan hasrat murni kerajaan negeri ini. Jika ada mana-mana pihak memerlukan penjelasan dan maklumat yang lebih terperinci boleh berhubung dengan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor