KERAJAAN JOHOR TERUS PERKUKUH OPERASI HPG WALAUPUN KEKURANGAN KAKITANGAN JADI CABARAN

Kerajaan Johor komited memastikan operasi Hospital Pasir Gudang terus lancar bagi memperkukuh sistem kesihatan negeri walaupun berdepan kekangan tenaga kerja. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor komited untuk terus memastikan kelancaran pengoperasian Hospital Pasir Gudang (HPG) dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan di negeri ini, meskipun berdepan kekangan tenaga kerja yang masih belum mencukupi.
Keprihatinan itu turut dizahirkan sendiri oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang berulang kali menitahkan agar hospital awam berkenaan dapat beroperasi secara penuh pada kadar segera sejak sidang Dewan Negeri Johor yang lalu.
HPG yang telah siap dibina dan diserahkan pada awal tahun lalu kini telah mula beroperasi dengan kesemua 14 perkhidmatan kesihatan termasuk kecemasan, pembedahan, pediatrik, ortopedik dan banyak lagi, jelas YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Johor (ADUN) Yong Peng memberitahu, sehingga kini hanya 157 katil melibatkan sembilan wad telah beroperasi berbanding keseluruhan 304 katil yang disediakan dengan sasaran pengoperasian penuh kesemua katil dapat dicapai menjelang September tahun ini.
Bagi aspek perjawatan pula, sebanyak 929 daripada 2,271 jawatan keseluruhan telah diisi atau bersamaan kira-kira 41 peratus, menyebabkan operasi hospital dijalankan berdasarkan kapasiti tenaga kerja sedia ada dengan pengoptimuman perkhidmatan klinikal yang tersedia.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengadakan beberapa siri perbincangan bagi tujuan mempercepatkan pengisian jawatan, termasuk penempatan pegawai perubatan, pakar dan jururawat secara berperingkat bagi memperkukuh operasi hospital berkenaan.
Selain itu, kewujudan HPG turut membantu mengurangkan tekanan terhadap Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) apabila sebahagian daripada perkhidmatan rawatan telah dialihkan ke HPG, sekali gus memastikan kelancaran perkhidmatan penjagaan kesihatan dapat ditingkatkan.
#JohorSafeZone
#KesihatanJohor
#HPG
#DewanNegeriJohorKe15
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



