KONVENSYEN KEPIMPINAN BELIA 2026 HIMPUNKAN 110 MAHASISWA, PERKUKUH PERPADUAN NEGARA

Seramai 110 delegasi mahasiswa IPT seluruh negara menyertai Konvensyen Kepimpinan Belia 2026 anjuran SRN UTHM dengan kerjasama IDO di UTHM, Batu Pahat, bagi memperkasa kepimpinan mahasiswa serta menyemai semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk. | Foto Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
#IskandarPuteri – Seramai 110 delegasi mahasiswa daripada pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara menyertai Konvensyen Kepimpinan Belia 2026 anjuran Sekretariat Rukun Negara Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (SRN UTHM) sebagai antara platform memperkasa kepimpinan mahasiswa.
Konvensyen berkenaan yang dianjurkan dengan kerjasama Institut Dato’ Onn (IDO) di Dewan Sultan Ibrahim, UTHM, Batu Pahat itu membuka peluang kepada mahasiswa terlibat dalam wacana intelektual, dialog dan perbincangan berkumpulan bagi meningkatkan kefahaman belia terhadap kepentingan perpaduan serta keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
Antara pengisian utama ialah Dialog Belia dan Kesukarelawanan yang mengetengahkan peranan aktiviti sukarelawan dalam membentuk generasi muda yang bertanggungjawab, berempati dan mempunyai kemahiran kepimpinan.
Selain itu, perbincangan berkumpulan mengenai perspektif belia dalam menangani konflik perpaduan turut memberi peluang kepada delegasi untuk turut sama bertukar pandangan serta mengemukakan cadangan penyelesaian berlandaskan prinsip Rukun Negara, toleransi dan sikap saling menghormati.
Kerjasama strategik SRN UTHM dan IDO ini mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh pembangunan kepimpinan belia melalui pendidikan dan penglibatan aktif mahasiswa, sekali gus melahirkan pemimpin muda yang berintegriti, inklusif serta berupaya menjadi agen perpaduan negara.
Penganjuran ini diharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan patriotisme, toleransi dan tanggungjawab sebagai warganegara, sekali gus melahirkan generasi yang mempunyai jati diri kukuh, berintegriti dan prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat serta negara.
#JohorSafeZone
#SRNUTHM
#IDO
#UTHM
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



