KPDN JOHOR PERIKSA SEMUA RANTAIAN PASTIKAN TIDAK BERLAKU KETIRISAN


Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo memohon kerjasama semua pihak menjadi mata dan telinga dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan berkaitan barang kawalan.

 

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Johor proaktif dalam melakukan pemeriksaan berterusan di semua rantaian pengilang, pemborong dan peruncit bagi memastikan tidak berlaku ketirisan yang berjaya memastikan pengedaran bekalan sentiasa ada dan mencukupi di pasaran.

 

“Pemeriksaan dan siasatan lanjut ke premis-premis di kawasan terlibat dan kawasan sekitar (lokasi yang ada bekalan) telah dibuat dan selain itu, Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan Pemborong Terpilih Daerah (DDW) di kawasan terpilih bersedia bagi membantu memastikan bekalan sepanjang masa,” kata Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo.

 

Mengambil contoh tinjauan dan pemeriksaan di Muar melibatkan lapan lokasi, beliau memberitahu bekalan seperti gula dan minyak masak paket masih ada di beberapa premis, namun hasil maklumat daripada pengurus premis menyatakan berlakunya peningkatan jualan mengakibatkan bekalan cepat habis.

 

“Tempahan bekalan bagi barang dibuat seperti biasa dan menunggu masa penghantaran bekalan seperti biasa jika habis. Bagi mana-mana premis yang kehabisan gula misalnya akan mendapatkan bantuan bekalan dari cawangan pasaraya daerah berdekatan.

 

“Bagi aduan kekurangan bekalan dijangka berlaku kepada premis runcit yang kecil sahaja berikutan stok yang dijual tidak banyak dan permintaan tinggi untuk jualan. Tidak dinafikan berlaku kekurangan dan ketiadaan stok bekalan di beberapa lokasi dan sedang diusahakan untuk dibantu,” kata beliau.

 

Tambah Lilis Saslinda, trend pembelian juga didapati agak tinggi pada ketika ini, terutama di kalangan peniaga kerana menumpukan kepada penawaran harga yang murah sekali gus mengakibatkan bekalan cepat habis dan tempahan stok adalah seperti biasa seperti mengikut jadual, namun DDW telah dihubungi dan bersedia menghantar bekalan.

 

Ditanya mengenai dakwaan pihak membocorkan maklumat sebelum pemantauan ke premis dilakukan, beliau menegaskan tiada isu seumpama itu dan pemeriksaan dijalankan secara berterusan dengan dibantu Pegawai Pemantau Harga dan KPDN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras jika terdapat aduan atau kesalahan menyorokkan bekalan.

 

Selain itu, beliau berkata, KPDN Negeri Johor komited dengan pelbagai langkah intervensi antaranya mengadakan Jualan Rahmah secara tiga kaedah iaitu ‘indoor, outdoor dan mobile’ di 26 Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri di negeri ini, yang diadakan dua kali sebulan di semua lokasi terpilih.

 

“Kerjasama semua pihak menjadi mata dan telinga dengan melaporkan aduan beserta maklumat yang lengkap bagi memudahkan tindakan diambil dengan cukup bukti. Melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan berkaitan barang kawalan seperti jual mahal, sorok dan mengenakan pembelian bersyarat,” mohon beliau kerjasama daripada pengguna.

 

Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan aduan ke aplikasi WhatsApp KPDN di talian 019-2794317; atau hubungi pusat panggilan di talian 1800-88-6800; atau pusat arahan penguatkuasa di 03-88826245/6088 dan laporkan ke pejabat KPDN berdekatan.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor