MPBP SEDIA JAYAKAN RKK PERSISIRAN SUNGAI BATU PAHAT


Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Khas (RKK) Persisiran Sungai Batu Pahat, baru-baru ini. | Foto ihsan Facebook Mohd Jafni Md Shukor

 

Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) komited menjayakan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Persisiran Sungai Batu Pahat dalam mencorak perancangan dan pembangunan bandar dan desa yang sistematik.

 

Pegawai Perancangan Bandar dan Desa MPBP, Shahril Karjoo memaklumkan Jawatankuasa Penyelarasan RKK dan Jawatankuasa Bertindak RKK Persisiran Sungai Batu Pahat serta Unit Urus Tadbir dan Pengurusan di sepanjang dan sekitar sungai Batu Pahat, juga akan ditubuhkan sebagai kesediaan pihak MPBP.

 

RKK Persisiran Sungai Batu Pahat meliputi seluas 2,289.17 hektar yang merangkumi guna tanah tepu bina, 339.58 hektar (14.83 peratus) dan guna tanah bukan tepu bina seluas 1,949.59 hektar (85.17 peratus) melibatkan kawasan bahagian barat daerah berkenaan.

 

Lokasi kawasan RKK yang mempunyai hubungan dagangan tukar barang (barter trade) yang baik dan strategik dengan Kepulauan Riau, Indonesia dijangka akan membantu meningkatkan hasil pendapatan persekutuan, negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 

Secara keseluruhan, projek pembinaan RKK melibatkan lima strategi dan 35 cadangan projek meliputi lima projek ‘quick win’, enam projek berimpak tinggi, 14 projek utama dan 10 projek sokongan bernilai RM1.45 bilion.

 

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor menyempurnakan perasmian program publisiti dan penyertaan awam Draf RKK Persisiran Sungai Batu Pahat, semalam.

 

Dengan perasmian tersebut, orang awam kini boleh turut serta dalam perancangan pembangunan yang ingin dilaksanakan di RKK berkenaan dengan memberikan cadangan dan pandangan sehingga 4 Januari 2024.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor