PEKA TERHADAP PERKEMBANGAN KESIHATAN MENTAL KANAK-KANAK DAN REMAJA


Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (tengah) menandatangi buku lawatan pada Majlis Perasmian Wad Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Hospital Permai Johor Bahru / Gambar MDJ Nurul Asyiqin Jalil.

 

JOHOR BAHRU — Kesihatan mental kanak-kanak dan remaja merupakan salah satu isu besar namun kurang diberikan perhatian yang sewajarnya, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Dr Zaliha berkata, terlalu ramai kanak-kanak dan remaja mengalami tekanan psikologi namun mungkin tidak memenuhi kriteria diagnostik tetapi mempunyai kesan yang ketara terhadap kesihatan, perkembangan dan kesejahteraan mereka.

Beliau berkata, sebelum pandemik COVID-19, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 10 hingga 20 peratus kanak-kanak dan remaja seluruh dunia mengalami masalah kesihatan mental dengan 50 peratus daripadanya berada pada tahap serius bermula pada usia 14 tahun.

“Malaysia mempunyai lebih 9 juta kanak-kanak dan remaja berusia 0 hingga 18 tahun yang membentuk 28 peratus populasi penduduk negara.

“Anggaran daripada Kajian Beban Penyakit Global (GBD) 2019 menunjukkan gangguan mental dan tingkah laku mencederakan diri menyumbang 19 peratus daripada jumlah beban penyakit membabitkan golongan berusia 10 hingga 19 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Wad Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja di Wad Iris D, Kompleks Iris, Hospital Permai Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon; Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Harjeet Singh dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dato’ Aman Rabu.

Dr Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, justeru semua pihak perlu memahami golongan terbabit berisiko mengalami masalah kesihatan mental kerana mereka berada pada fasa transisi fasa kanak-kanak ke dewasa.

“Ini kerana ia adalah fasa yang paling kritikal dalam proses perubahan fizikal, kematangan kognitif dan pengurusan emosi sehingga mereka cenderung untuk berasa keliru atau tersisih apabila tidak dapat menyesuaikan diri dalam jaringan sosial.

“Satu penyelidikan pada 2021 bertajuk ‘Strengthening Mental Health and Psychological Support’ oleh KKM dan UNICEF mengenal pasti beberapa cabaran yang dihadapi kanak-kanak antaranya kesukaran akses kepada perkhidmatan kesihatan mental, undang-undang, polisi, kelemahan kerjasama antara pelbagai sektor serta kurang pembabitan ibu bapa,” katanya.

Justeru, dengan mengambil kira laporan tersebut, masyarakat terutama ibu bapa seharusnya menjadikan ia sebagai ‘wake-up call’ atau penggera supaya lebih peka terhadap kesihatan mental golongan kanak-kanak dan remaja kelak.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor