PERKHIDMATAN KESIHATAN MENYELURUH TERMASUK KAWASAN LUAR BANDAR


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Perkhidmatan klinik bergerak disediakan kepada masyarakat di luar bandar serta orang asli di negeri ini, yang mengalami kesukaran untuk capaian fasiliti kesihatan termasuklah Kota Tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, di Kota Tinggi, terdapat empat klinik bergerak memberikan perkhidmatan di empat lokaliti dan satu khusus bagi Sedili meliputi kawaasn pinggiran.

“Bagi kes-kes terlantar di rumah, terdapat lawatan rumah dilakukan melalui perkhidmatan domisiliari atau penjagaan pesakit di rumah (PPD) yang diberikan daripada klinik kesihatan berdekatan.

“Melalui perkhidmatan ini, penjagaan pesakit termasuk dengan perawatan rehabilitasi turut diberikan kepada pesakit,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Sedili, Muszaide Makmor yang mencadangkan agar klinik dan hospital mengadakan khidmat pemantauan pesakit di rumah bagi memberi rawatan kepada pesakit tidak berkemampuan seperti klinik bergerak khas bagi penduduk luar bandar.

Tian Soon berkata, pendidikan kesihatan termasuk cara penjagaan bagi pesakit terlantar turut diberikan bagi memastikan ahli keluarga dapat dan mampu menjaga pesakit secara berkualiti.

“Setakat ini, terdapat 33 kes pada tahun 2022, termasuk kes terlantar di Kota Tinggi termasuk di Sedili telah dilihat di bawah perkhidmatan ini.

“Selain itu, terdapat juga lawatan rumah yang dilakukan di bawah perkhidmatan ibu hamil postnatal dan anak, di mana jururawat boleh menyalurkan info untuk menggerakkan pasukan PPD dengan segera,” katanya.

Beliau memberitahu secara keseluruhannya, perkhidmatan kesihatan yang diberikan adalah menyeluruh merangkumi golongan kurang berkemampuan termasuk penduduk di luar bandar.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor