JOHOR PERKUKUH TRANSFORMASI KEWANGAN DIGITAL, PACU PENGURUSAN LEBIH CEKAP

YB Dato’ Mohd. Noorazam Dato’ Osman, Pegawai Kewangan Negeri Johor pada perasmian Program Hari Perbendaharaan Negeri Johor Tahun 2026 di Ruang Legar Utama, Sunway BigBox Mall Retail Park. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkasa transformasi pengurusan kewangan negeri menerusi pendigitalan proses kerja, pemudahan prosedur serta peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Usaha berkenaan turut diterapkan menerusi inisiatif aplikasi E-Perbendaharaan Negeri Johor (EPNJ) yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pendigitalan sistem, tetapi juga mampu mengubah cara kerja, proses membuat keputusan dan penyampaian perkhidmatan kepada Bangsa Johor kelak.
Menerusi pendekatan terkini itu, proses kerja disasarkan menjadi lebih ringkas, keputusan dapat dibuat dengan lebih pantas, maklumat lebih jelas dan akauntabiliti dapat disusun dengan lebih cekap dan teratur.
Konsep ‘paperless’ turut diberi penekanan dalam transformasi berkenaan, namun ia tidak bermaksud kawalan kewangan akan dikurangkan, sebaliknya kawalan itu kini diubah kepada penggunaan sistem, rekod digital, kebenaran serta akauntabiliti yang lebih jelas.
Selain itu, Perbendaharaan Negeri Johor akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan kewangan yang bukan sahaja mematuhi peraturan, tetapi turut memastikan setiap proses, peruntukan dan keputusan mempunyai tujuan, nilai serta impak yang jelas.
Kerjasama strategik bersama Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) turut menyokong usaha memperkukuh ekosistem pembayaran digital, termasuk perkongsian pengetahuan berkaitan pembayaran tanpa tunai serta perkembangan teknologi kewangan.
Selain itu, garis panduan yang dikemas kini bagi pemakaian Pekeliling Perbendaharaan di peringkat Kerajaan Johor akan mula dikuatkuasakan pada tahun 2027 dengan penekanan terhadap proses yang lebih mudah difahami, tanggungjawab yang jelas dan kesesuaian dengan keperluan operasi jabatan.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd. Noorazam Dato’ Osman, Pegawai Kewangan Negeri Johor menyampaikan ucapan perasmian Program Hari Perbendaharaan Negeri Johor Tahun 2026 yang berlangsung di Ruang Legar Utama, Sunway BigBox Mall Retail Park.
Hadir sama, YM Puan Ungku Suzana Ungku Mohammad, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek Dan Kesejahteraan Rakyat); YB Datin Paduka Hajah Shubanah Yusuf, Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor (PIJ); YB Datin Paduka Dr. Hajah Suhailizan Suliman, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) dan YB Datin Paduka Hajah Hazlina Jalil, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).
#JohorSafeZone
#HIPNJ2026
#PerbendaharaanNegeriJohor #TransformasiKewangan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


