PRIHATIN ISU SK PERIGI ACHEH, BANGUNAN SEMENTARA BAKAL DIBINA


YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor mengadakan lawatan ke SK Perigi Acheh, Pasir Gudang. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Isu struktur bangunan dan tanah yang tidak selamat kepada warga pendidik serta murid Sekolah Kebangsaan (SK) Perigi Acheh, Pasir Gudang diberikan perhatian oleh YB Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.

 

Prihatin dengan kepayahan warga sekolah berkenaan yang kini terpaksa menumpang sementara di SK Tanjung Langsat, isu terbabit terus diperjuangkan oleh Kerajaan Negeri sehingga berjaya membuahkan hasil apabila bangunan sementara bakal dibina menjelang tahun 2025.

 

Dengan terbinanya bangunan sementara melibatkan peruntukan RM6 juta daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu kelak, guru berserta kira-kira 105 murid SK Perigi Acheh akan dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP) dengan lebih selesa dan selamat.

 

Selain itu, YB Aznan Tamin yang juga Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Tanjung Surat memaklumkan Kerajaan Negeri juga akan memastikan permohonan pembinaan bangunan baharu bagi sekolah berkenaan dimasukkan ke dalam Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

 

Malah, Kerajaan Johor turut bersetuju memperuntukkan RM50,000 bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada murid SK Perigi Acheh ke SK Tanjung Langsat untuk sesi persekolahan tahun 2024 yang bermula pada Mac ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor