RM5.8 JUTA DISALUR MENERUSI BKJ UNTUK MURID OKU DAN ANAK YATIM

Peruntukan terbesar inisiatif meringankan kos sara hidup rakyat itu melibatkan bantuan tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM150 kepada murid Orang Kurang Upaya (OKU) sama ada berada dalam sistem persekolahan mahupun di luar sistem dengan jumlah peruntukan RM3.4 juta yang memanfaatkan 23,000 penerima. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus memperkukuh agenda kebajikan dan pendidikan inklusif apabila dua inisiatif di bawah portfolio Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menerima manfaat menerusi Bantuan Kasih Johor (BKJ) Fasa Keempat dengan jumlah peruntukan RM5.8 juta.

 

Inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 35,000 penerima, sekali gus mencerminkan pendekatan berfokus Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan akses pendidikan yang lebih adil serta sokongan sosial yang berterusan kepada golongan memerlukan.

 

Peruntukan terbesar inisiatif meringankan kos sara hidup rakyat itu melibatkan bantuan tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM150 kepada murid Orang Kurang Upaya (OKU) sama ada berada dalam sistem persekolahan mahupun di luar sistem dengan jumlah peruntukan RM3.4 juta yang memanfaatkan 23,000 penerima.

 

Bantuan ini dilaksanakan sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan keluarga, selain menyokong keperluan pendidikan dan kebajikan murid OKU secara lebih inklusif.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM2.4 juta bagi bantuan tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM200 kepada 12,000 anak yatim di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

 

Inisiatif tersebut bukan sahaja membantu dari sudut kewangan, malah mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan anak-anak yatim terus dipelihara serta tidak tercicir dalam arus pembangunan pendidikan di negeri ini.

 

Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) bagi Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohor
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor