ERA BAHARU PENGANGKUTAN REL JOHOR BERMULA

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan merasmikan Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Projek PLBEGJB di Stesen Keretapi Kempas Baru. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) di Stesen Keretapi Kempas Baru, hari ini.
Penyempurnaan PLBEGJB menandakan bermulanya fasa baharu sistem pengangkutan rel Johor sekali gus mengangkat projek nasional berkenaan sebagai pemacu utama transformasi mobiliti dan infrastruktur rel negara.
Dengan jajaran sepanjang 192 kilometer merangkumi 11 stesen moden, PLBEGJB dibangunkan bagi meningkatkan kapasiti perjalanan, mempercepatkan operasi rel dan memperkukuh hubungan ekonomi di koridor Johor–Selatan, menjadikannya pemangkin penting kepada pertumbuhan wilayah.
Sejajar dengan itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) secara rasmi memperkenalkan perkhidmatan tren elektrik (ETS) laluan KL Sentral-JB Sentral bermula esok, sebagai pelengkap sambungan rel baharu yang diwujudkan melalui PLBEGJB dengan akses perjalanan lebih pantas, selesa dan efisien antara dua pusat pertumbuhan utama negara.
Projek mega nasional ini direalisasikan melalui kerjasama strategik Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), KTMB dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) menandakan komitmen bersepadu dalam memodenkan rangkaian pengangkutan negara ke arah sistem mobiliti yang pantas, efisien dan mampan.
Hadir sama, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri; YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan dan YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.
#PLBEGJB
#InfrastrukturRel
#KTMBerhad
#RAC
#ETS3
#ETSJohorKL
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



