EXCO JOHOR KETUAI PEMANTAUAN SERTA PENGUATKUASAAN PREMIS DAN KUTU RAYAU SEKITAR JB


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa Ismail malam tadi mengetuai operasi tindakan pemantauan serta penguatkuasaan pengemis dan kutu rayau di sekitar Johor Bahru / Gambar Ihsan FB Khairin Nisa Ismail.

 

ISKANDAR PUTERI — Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin Nisa Ismail malam tadi mengetuai operasi tindakan pemantauan serta penguatkuasaan pengemis dan kutu rayau di sekitar Johor Bahru.

Operasi pemantauan yang dilaksanakan sehingga jam 3 pagi tadi itu membabitkan kawasan tumpuan iaitu di Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tun Razak dan Laman Tun Sri Lanang.

“Malam semalam, saya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan pengemis dan kutu rayau bagi melihat sendiri kewujudan gelandangan di sekitar Johor Bahru.

“Pada pemantauan yang berakhir jam 3 pagi itu, saya melihat perubahan yang amat ketara di mana hampir tiada gelandangan di sekitar kawasan ini berbanding dengan pemantauan sama yang dilaksanakan sebelum ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasminya.

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Pemantauan Projek dan Kesejahteraan Rakyat) Shubanah Yusuf; Pengarah JKM Johor, Mohamad Hapil; Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Adnan Md Yassin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Penguatkuasaan) JKM, Iskandar Abu Bakar.

Khairin Nisa berkata, melihatkan perkembangan positif itu, pihaknya berharap dengan usaha sama pelbagai pihak itu secara tidak langsung akan membantu hasrat Kerajaan Negeri untuk mencapai sasaran sifar gelandangan pada masa akan datang.

“Terima kasih saya ucapkan kepada JKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sentiasa bersama Kerajaan Negeri dalam memastikan bilangan gelandangan di Johor berkurangan di atas landasan Johor Bersih dan Maju Johor 2030,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor