FAHAMI DAN JUNJUNG TITAH YANG DI-PERTUAN AGONG


Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. | Foto Istana Negara

 

Rakyat di negara ini diseru menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai ingatan tulus untuk mempertahankan nilai muhibah seterusnya memacu kecemerlangan negara bertunjangkan keharmonian.

 

Mengulas mengenai titah Seri Paduka Baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M pada Ahad lalu, Prof. Dato’ Dr. Sivamurugan Pandian menyifatkan titah DiRaja itu melambangkan ketegasan Yang di-Pertuan Agong terutama berkaitan perpaduan di negara ini.

 

Beliau melihat ketegasan dizahirkan mencerminkan keunikan negara berteraskan Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berpalimen merentasi agama dan ras etnik yang menjadi tonggak kepada keharmonian antara kaum sejak sekian lama.

 

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) itu juga berpandangan titah DiRaja berkenaan tepat pada masanya untuk mengingatkan rakyat agar tidak terleka dengan arus pembangunan hingga mengenepikan nilai faham, hormat dan terima yang menjadi teras perpaduan negara.

 

Terdahulu, Seri Paduka Baginda mengingatkan rakyat Malaysia supaya menjadikan perpaduan sebagai tunjang kekuatan dan keharmonian dalam negara selain kepentingan untuk bersama memelihara perpaduan serta tidak bersikap keterlauan dalam isu berkaitan kaum mahupun agama.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor