YAYASAN JCORP PERKASA PENDIDIKAN STEM, LAHIRKAN GENERASI BERINOVASI

Yayasan JCorp memperkukuh pembangunan pendidikan STEM di Johor menerusi kerjasama strategik dengan Petrosains bagi memperluaskan peluang pembelajaran berasaskan STEM dan inovasi kepada lebih ramai pelajar. | Foto Yayasan Johor Corporation

 

#IskandarPuteri – Komitmen Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) memperkasakan pendidikan berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) diperkukuhkan menerusi pemeteraian kerjasama ‘Heads of Agreement’ dengan Petrosains.

 

Usaha yang dirangka itu bagi memperluaskan lagi jaringan rangkaian peluang pembelajaran berkaitan STEM dan program berasaskan inovasi kepada lebih ramai pelajar pada masa hadapan di Negeri Johor.

 

Kerjasama berkenaan dijangka mampu memperkukuh ekosistem pendidikan STEM di Johor melalui perkongsian kepakaran, pembangunan program berkualiti serta pendedahan yang lebih meluas kepada teknologi dan inovasi.

 

Komitmen sama turut diterjemahkan menerusi penganjuran Simposium Sekolah Lestari STEM 2026 yang menghimpunkan kira-kira 300 peserta termasuk pendidik, pembuat dasar serta rakan strategik dalam memperkasakan budaya inovasi, pemikiran kritikal dan pembelajaran berteraskan kelestarian.

 

Sementara itu, simposium itu turut menyaksikan penglibatan pempamer dan pertandingan prototaip melibatkan lima sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda, Johor Bahru; SMK Telok Kerang, Pontian; SMK Bandar Penawar, Kota Tinggi; SMK Buluh Kasap, Segamat dan SMK Seri Medan, Batu Pahat.

 

Penglibatan ini bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran dan keterlibatan guru dan pelajar dalam bidang STEM, malah membuka ruang kepada penghasilan penyelesaian praktikal yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian serta komuniti setempat.

 

Terdahulu, YB Dato’ Mizan Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp hadir ke Simposium Sekolah Lestari STEM 2026 di Sekolah Seni Malaysia Johor, baru-baru ini.

 

#JohorSafeZone
#STEM
#YayasanJCorp
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor