FASILITI KESIHATAN UZUR DI PEKAN NANAS DALAM PERHATIAN KERAJAAN NEGERI


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon mengadakan kunjungan ke fasiliti kesihatan di Pekan Nanas, dekat Pontian.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor terus memberikan perhatian terhadap fasiliti kesihatan uzur di negeri ini, demi keselesaan rakyat.

 

Terbaharu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon mengadakan kunjungan ke fasiliti kesihatan di Pekan Nanas, dekat Pontian.

 

Dua fasiliti yang dikunjungi adalah Klinik Kesihatan (KK) Pekan Nanas dan Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) Pekan Nanas.

 

Tian Soon berkata, keadaan tandas KK Pekan Nanas sudah lama mengalami kerosakan sekali gus memberikan kesusahan kepada ibu hamil.

 

“Kunjungan kejutan mendapati tandas KK Pekan Nenas sudah rosak lama dan menyusahkan ibu yang menghamil perlu jalan kaki jauh ke belakang.

 

“Sebahagian tandas itu juga rosak dan tidak dapat digunakan. Setiap hari KK Pekan Nenas akan menerima lebih kurang 400 orang pesakit pelbagai kes dengan perkhidmatan sembilan doktor dan sokongan lebih kurang 60 orang staf,” kata beliau yang turut memaklumkan klinik berkenaan juga menyediakan perkhidmatan pergigian dan juga x-ray.

 

Mengenai MENTARI Pekan Nanas pula, Tian Soon berkata, pusat menyediakan perkhidmatan perubatan dan konsultasi kepada pesakit mental itu juga berada dalam keadaan uzur.

 

“Fasiliti ini merupakan bangunan klinik kesihatan yang lama dan sangat usang dan mengalami kerosakan. Lebih kurang 30 hingga 40 pesakit akan datang ke sini setiap hari. Mereka juga menyediakan perkhidmatan gerak ke rumah,” katanya.

 

Justeru, beliau komited untuk membincangkan usaha menambah baik dan menaik taraf kemudahan kesihatan berkenaan bersama ADUN Pekan Nanas, Tan Eng Meng demi memberikan perkhidmatan perubatan lebih selesa kepada rakyat.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor