SASAR PENEMPATAN SEMULA SETINGGAN DALAM 5 TAHUN


 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, terdapat lebih 8,000 rumah setinggan melibatkan 79 penempatan di Johor Bahru, pada ketika ini. | Foto MDJ, Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor menyasarkan penempatan semula setinggan di sekitar bandar raya ini, dalam tempoh lima tahun.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, terdapat lebih 8,000 rumah setinggan melibatkan 79 penempatan di Johor Bahru, pada ketika ini.

 

“Kita nak sasarkan penurunan kepada 3,000 dalam tempoh 5 tahun dari 8,000 kepada 5,000. Kita memang dah tawar rumah kepada mereka, tetapi bila dia dapat (rumah), dia keluar bagi kunci pada orang lain.

 

“Jadi rumah setinggan itu kekal, tetapi penghuninya orang lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Ekspo Hartanah Johor 2023 di Angsana Johor Bahru, hari ini.

 

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor.

 

Dalam perkembangan lain, Onn Hafiz berkata, Kerajaan Johor juga mengesyorkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi pembinaan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri ini.

 

Ujarnya, syor itu kerana kekhuatiran berlakunya peningkatan aliran trafik seterusnya menyebabkan Bas Rapid Transit (BRT) berkemungkinan tidak mampu menampung jumlah penumpang yang ramai.

 

“Jadi, perlu ada perancangan pembinaan LRT di Johor bagi memudah cara aliran trafik di kawasan tersebut bila Sistem Transit Rapid (RTS) siap tahun 2026. Perancangan yang terperinci perlu dilaksanakan sekarang,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor