FESTIVAL D’SAWAH 2025 PROMOSI AGROPELANCONGAN DAN BUDAYA DESA

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang Festival D’Sawah 2025 berlangsung. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#Tangkak – Majlis Daerah Tangkak (MDT) terus komited mengetengahkan potensi agropelancongan dan budaya desa terdapat di daerah berkenaan menerusi penganjuran Festival D’Sawah 2025 yang berlangsung di Dataran Sawah, Kampung Teluk Rimba.

 

Festival selama tiga hari bermula semalam hingga esok yang meraikan identiti dan warisan masyarakat luar bandar itu adalah kali kedua selepas julung kali diadakan di Dataran Pulau Penarik pada tahun lalu.

 

Mendapat kerjasama erat daripada pelbagai pihak termasuk agensi pelancongan dan masyarakat setempat, festival dianjurkan menjadi persiapan awal menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

 

Penganjuran festival merupakan usaha strategik MDT memperkenalkan produk agropelancongan melibatkan lima sawah padi di Tangkak iaitu Pulau Penarik, Telok Rimba, Sawah Ring, Kesang Tasek dan Kesang Gate.

 

Sebanyak RM60,000 telah diperuntukkan untuk menganjurkan Festival D’Sawah 2025 bagi memajukan lagi sektor agropelancongan di Kampung Telok Rimba serta menarik lebih ramai pengunjung ke Tangkak.

 

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang festival berlangsung antaranya forum perdana dan berselawat, pertandingan bola sepak D’Sawah, pertandingan tarik tali, bengkel dan pertunjukan layang-layang.

 

#AmazingTangkak
#TahunMelawatJohor2026
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor