GANGGUAN BEKALAN AIR TIADA KAITAN DENGAN PEMBANGUNAN PUSAT DATA

Tiada sebarang pusat data yang beroperasi di kedua-dua kawasan berkenaan, sekali gus menafikan dakwaan yang mengaitkan gangguan bekalan air dengan pembangunan infrastruktur digital di kawasan tersebut, jelas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri — Gangguan bekalan air yang berlaku di Simpang Renggam dan Benut dikenal pasti berpunca daripada situasi kemarau berpanjangan serta penyusutan paras sumber air mentah dan bukan disebabkan pembangunan pusat data.
Selain itu, tiada sebarang pusat data yang beroperasi di kedua-dua kawasan berkenaan, sekali gus menafikan dakwaan yang mengaitkan gangguan bekalan air dengan pembangunan infrastruktur digital di kawasan tersebut, jelas YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Sebaliknya, Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam merupakan loji utama yang membekalkan air terawat kepada sebahagian kawasan di daerah Kluang dan Pontian Utara, termasuk melibatkan kawasan Simpang Renggam, Jalan Benut, Jalan Renggam dan keseluruhan kawasan Machap, selain Tampok, Benut serta Api-Api.
Pusat data di kawasan Perindustrian Sedenak pula menerima bekalan air daripada LRA Semangar yang menjadikan sumber air mentahnya dari Sungai Johor dan bukannya Empangan Machap.
Ia sekali gus mengesahkan gangguan bekalan air yang berlaku adalah berkait dengan faktor cuaca dan penyusutan sumber air, selaras dengan situasi kemarau yang turut dilaporkan turut berlaku di beberapa negeri lain.
Bekalan Air Berjadual (BAB) yang dilaksanakan sejak 7 Februari di Simpang Renggam dan Benut, termasuk penjadualan 48 jam tanpa bekalan air mengikut zon, kini telah ditamatkan sepenuhnya susulan peningkatan paras air Empangan Machap serta operasi LRA yang kembali optimum selepas pemantauan rapi.
Kerajaan Negeri juga kekal komited memastikan hak rakyat terhadap bekalan air bersih sentiasa terpelihara, dengan pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat sentiasa dilaksanakan secara seimbang menerusi perancangan rapi, kawal selia bersepadu serta pelaburan berterusan dalam infrastruktur asas.
#JohorSafeZone
#BekalanAir
#CuacaPanas
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



