GEROBOK REZEKI ‘KONGSI NIKMAT’ UNTUK BANGSA JOHOR

YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir merasmikan Majlis Pelancaran Program Gerobok Rezeki Johor di The Avenue M Hotel, Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Golongan Asnaf dan mereka yang memerlukan kini boleh menarik nafas lega apabila Program Gerobok Rezeki Johor kini digerakkan secara meluas di 118 masjid dan surau melibatkan 56 kawasan Dewan Negeri (DUN) serta setiap pejabat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di seluruh daerah di negeri ini.
Dengan peruntukan lebih RM2.4 juta, inisiatif Kerajaan Negeri yang dilaksanakan melalui MAINJ itu turut mendapatkan sokongan penuh syarikat pengeluar barangan makanan terkenal negara iaitu Syarikat Faiza Sdn. Bhd.
Menerusi kerjasama strategik tersebut, pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, tepung gandum, bihun siam, gula dan minyak masak akan dapat disumbangkan bagi menyokong inisiatif murni Kerajaan Johor dalam membantu golongan yang memerlukan di negeri ini.
Inisiatif yang dilaksanakan dengan membawa makna ‘Islam Sebagai Rahmatan Lil Alamin’ ini juga digerakkan bagi menyantuni golongan asnaf dan masyarakat yang terputus bekalan makanan asas, selain memberi akses secara segera dan ‘percuma’ kepada golongan yang memerlukan.
Secara tidak langsung, usaha ini turut menjadikan institusi masjid dan surau bukan sekadar tempat beribadah untuk umat Islam semata-mata, tetapi juga mampu berfungsi sebagai hab komuniti yang cakna dan resposif, sekali gus menyokong insiatif Gerobok Rezeki Johor yang diumumkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada pembentangan Belanjawan Johor 2026, baru-baru ini.
Selain MAINJ, kerjasama secara bersepadu turut membabitkan pelbagai pihak seperti Bahagian Masjid dan Surau, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ); Pejabat-Pejabat Daerah; Majlis Agama Islam Daerah serta Jawatankuasa Masjid dan Surau.
Terdahulu, YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir merasmikan Majlis Pelancaran Program Gerobok Rezeki Johor di The Avenue M Hotel, Johor Bahru, hari ini.
#JohorSafeZone
#GerobokRezekiJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


