HARAP SIASATAN KKM DAPAT DISEGERAKAN: EXCO KESIHATAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon menghadiri mesyuarat dipengerusikan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa bersama EXCO-EXCO Kesihatan seluruh Malaysia. | Foto Ihsan: Facebook AH SOON

 

ISKANDAR PUTERI — Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon berharap siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap kes keracunan makanan ikan buntal melibatkan dua rakyat negeri ini, dapat disegerakan.

 

Beliau turut mencadangkan kepada kementerian supaya bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia bagi mengubalkan akta atau undang-undang untuk mengawal penjualan ikan buntal di negara ini.

 

Tian Soon membangkitkan mengenai kes tersebut ketika menghadiri mesyuarat dipengerusikan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa bersama EXCO-EXCO Kesihatan seluruh Malaysia.

 

“Saya juga berkesempatan membangkitkan kes keracunan makanan ikan buntal oleh dua orang rakyat Johor dan mengharapkan siasatan KKM dapat disegerakan secepat mungkin.

 

“Kami mencadangkan KKM harus bekerjasama dengan Jabatan Perikanan agar mengubalkan akta atau undang-undang bagi mengawal penjualan ikan buntal dan turut memastikan kes keracunan tidak berlaku lagi,” katanya seperti dipetik dari Facebook rasminya, hari ini.

 

Selain itu, beliau memaklumkan mesyuarat yang dihadiri itu antara lain membincangkan pembangunan KKM pada tahun ini, serta Kertas Putih Kesihatan yang akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Jun ini.

 

Terdahulu, media melaporkan sepasang warga emas meninggal dunia dipercayai akibat mengalami keracunan selepas menikmati hidangan ikan buntal dalam kejadian 25 Mac lalu.

 

Tian Soon seperti dilaporkan media sebelum ini memberitahu Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) masih menunggu laporan makmal berhubung keracunan ikan buntal yang melibatkan kematian dua warga emas terbabit.

 

Menurut beliau, laporan tersebut bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum memutuskan tindakan seterusnya ke atas pembekal ikan tersebut.

 

Siasatan mengenai kejadian telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan Batu Pahat, selain Polis Diraja Malaysia yang turut membuka kertas siasatan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor