WARGA PENDIDIK SERTAI TAKLIMAT PENAWARAN INISIATIF IPRK 2023


Sesi Taklimat Penawaran Inisiatif Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) 2023 anjuran Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang disertai kira-kira 95 warga pendidik | Sumber Gambar Facebook MBIP – Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

 

 

ISKANDAR PUTERI — Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) menganjurkan Sesi Taklimat Penawaran Inisiatif Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) 2023 buat kali kedua bersama warga pendidik, 6 April lalu.

 

Sesi tersebut dianjurkan dengan kerjasama rakan strategik iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan SWM Environment Sdn. Bhd.

 

Hampir 95 peserta terdiri daripada guru penyelaras, guru besar dan pengetua sekolah-sekolah di kawasan pentadbiran MBIP menghadiri sesi taklimat tersebut.

 

“Pihak MBIP amat mengalu-alukan projek pendidikan, kesedaran dan gaya hidup rendah karbon yang bukan sekadar meningkatkan penyertaan masyarakat setempat malah memberi kesan jangka panjang kepada kelestarian alam sekitar,” jelas MBIP menerusi siaran dimuatnaik dalam Facebook rasmi, hari ini.

 

Selain itu, MBIP memaklumkan IPRK merupakan suatu kerangka yang dibangunkan oleh Rakan Strategik MBIP dalam usaha mendidik, memberikan motivasi, libat urus dalam menjalankan inisiatif rendah karbon bagi memangkin perubahan tingkahlaku dan meningkatkan kehidupan berkualiti penduduk Iskandar Puteri.

 

Langkah itu demi merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030, Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030, dan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Puteri 2025.

 

“Antara komponen inisiatif rendah karbon yang dijalankan dalam kerangka IPRK ini adalah pengurusan sisa, kebun komuniti, penjimatan air, penjimatan elektrik dan komponen lain yang berkaitan bagi pengurangan karbon,” jelas MBIP lagi.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor