HARIMAU SELATAN LAWAN GERGASI MERAH – PELUANG SANG JUARA LEBARKAN JURANG

Selaku juara Liga Super Malaysia 2024/2025, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) diberikan hak selaku tuan rumah bagi menganjurkan perlawanan Piala Sumbangsih ke-41 dengan menerima kunjungan pasukan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Jumaat ini. | Foto MDJ Wira Anggara
Oleh: Farhan Khair Fawazul Khair
Pegawai Penerangan Editor Media Digital Johor
Perdebatan siapa ‘King of Malaya’ yang sebenar antara Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC sentiasa menjadi topik hangat setiap kali menjelang pembukaan saingan Liga Malaysia (Liga-M).
Ianya menjadi lebih riuh rendah apabila pengurusan tertinggi Gergasi Merah menyatakan mereka sudah berjaya merapatkan jurang dengan Harimau Selatan meskipun ianya kelihatan jauh berdasarkan fakta dan data.
Topik tersebut dilihat menjadi signal dan tonik tambahan bagi menyuntik keterujaan penyokong untuk hadir memenuhkan stadium bola sepak pada hari perlawanan dan menyedarkan kita bahawa senario bola sepak tempatan masih segar bugar.
Selaku juara Liga Super Malaysia 2024/2025, JDT diberikan hak selaku tuan rumah bagi menganjurkan perlawanan Piala Sumbangsih ke-41 dengan menerima kunjungan pasukan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Jumaat ini.
Perlawanan Sumbangsih tahun ini merupakan pertembungan kali ketiga buat kedua-dua pasukan sejak penubuhan JDT pada tahun 2013. Harimau Selatan telah mencatatkan kemenangan pada tahun 2016 menerusi sepakan penalti 7-6 selepas terikat 1-1 sepanjang aksi 90 minit. Pada musim lalu pula, JDT diberikan kemenangan percuma 3-0 setelah pasukan Selangor menarik diri daripada perlawanan atas alasan faktor keselamatan.
JDT telah bertemu Selangor sebanyak 32 perlawanan sejak 2013 menyaksikan majoriti 21 kemenangan, tujuh kali seri dan hanya tewas empat kali. Kali terakhir pertembungan di gelanggang lawan pada Oktober 2024 menyaksikan skuad kendalian Hector Bidoglio ketika itu menang 3-0 sekaligus melengkapkan jumlah keseluruhan 76 gol sepanjang aksi kedua-dua pasukan.
Mengikut rekod, pada tahun 2022, JDT telah menewaskan Selangor 5-1 di SSI dan terikat 1-1 di gelanggang lawan pada perlawanan Liga Super. JDT juga mengesahkan status selaku pasukan ‘Invincibles’ iaitu tanpa kalah sepanjang musim serta melengkapkan kejuaraan Quadruple apabila menjuarai Piala Malaysia dengan menewaskan Selangor 2-1 dalam perlawanan akhir.
Tidak cukup dengan itu, musim 2023 menyaksikan JDT beraksi cemerlang menundukkan Selangor 4-0 di gelanggang lawan dan keputusan 2-0 di SSI ditambah pula detik manis pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang Selangor di mana Pemain Paling Bernilai (MVP) empat kali berturut-turut, Arif Aiman Hanapi mempamerkan aksi cemerlang dengan menyumbat ‘hat-trick’ dan gol daripada Fernando Forestieri menjadikan kemenangan bergaya 4-0 melayakkan JDT ke perlawanan akhir.
Seakan tidak puas, Harimau Selatan telah mencatatkan rekod kemenangan terbesar dalam sejarah perlawanan akhir Piala FA dengan sekali lagi Selangor menjadi mangsa dengan keputusan 6-1 pada bulan Ogos 2024.
Perlawanan dramatik itu dilengkapkan dengan jaringan hatrik Juan Muniz, ditambah pula dengan jaringan Arif Aiman, Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes yang pasti akan sentiasa diingati oleh penyokong Harimau Selatan.
Menerusi fakta dan data ini, jurang pemisah yang dikatakan mengecil ini sebenarnya tidak tepat namun ianya secara tidak langsung dapat memberikan keterujaan buat para penyokong yang tidak sabar menantikan perlawanan pembukaan musim 2025-26 di dalam stadium yang penuh.
Ayuh penyokong Harimau Selatan, kita harungi musim baharu dengan berikan sokongan penuh dan teguh berdiri di belakang empayar unggul ini. Penuhkan stadium dan buktikan pada dunia ini Johor Darul Ta’zim. Luaskan Kuasamu Johor.
#SkyWasNeverTheLimit
#TheTMJeffect
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor