HOKI PIALA SULTAN JOHOR: MEDAN SKUAD SUKMA JOHOR TIMBA ILMU DENGAN PASUKAN ANTARABANGSA

YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Cek Cura Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah-21 Tahun Piala Sultan Johor 2025. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Penganjuran Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 yang bakal bermula mulai 11 hingga 18 Oktober ini di Stadium Hoki Taman Daya bukan sahaja menjadi medan persaingan enam kuasa besar hoki dunia, malah ia juga menjadi antara platform penting dalam pembangunan bakat baharu sukan berkenaan di Negeri Johor.

 

Ia selepas Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) menetapkan syarat agar pasukan antarabangsa yang bertanding pada edisi kali ini perlu mengadakan perlawanan persahabatan bersama Skuad Hoki Sukan Malaysia (SUKMA) Johor supaya ia akan memberi pendedahan awal kepada pasukan itu menjelang temasya SUKMA 2026 yang bakal berlangsung di Selangor, tahun depan.

 

Langkah berkenaan juga selaras dengan titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang mahu skuad muda Johor memanfaatkan penganjuran kejohanan untuk menimba pengalaman dengan sebaiknya daripada enam negara bertanding iaitu juara bertahan Great Britain, Pakistan, Australia, India, New Zealand dan Malaysia.

 

Kelainan yang ditampilkan Johor selaku tuan rumah acara bertaraf antarabangsa ini akan memberi peluang kepada pasukan hoki remaja Johor serta barisan pemain pelapis untuk menuntut ilmu secara terus daripada pasukan antarabangsa yang bakal berkampung selama seminggu di negeri ini.

 

Selain itu, skuad hoki remaja negara di bawah bimbingan Nor Saiful Zaini diharap dapat memberi persembahan terbaik dalam kempen kali ini setelah menjalani persiapan rapi di China, sekali gus berupaya untuk sekali lagi bergelar juara, selepas kali terakhir melakukannya pada edisi pertama SOJC pada tahun 2011 apabila berjaya menewaskan Australia 3-2 di pentas akhir.

 

Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor hadir ke Majlis Pelancaran dan Penyerahan Cek Cura Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah-21 Tahun Piala Sultan Johor 2025 di Fraser Place, Iskandar Puteri.

 

Hadir sama ialah YB Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan); YBhg Ts. En. Mohd Ekmaluddin Ishak, Pengarah MSNJ; YBhg Dato’ Majid Manjit Abdullah, Presiden Persatuan Hoki Negeri Johor dan YBhg En. Mohammad Nazrul Abd. Rahim, Pengarah Tourism Johor.

 

#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#SukanMDJ
#HokiPialaSultanJohor
#JohorSportsNation
#XtifJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor