IBTEC MAMPU TARIK RM40 BILION PELABURAN BAHARU

IBTEC di Sedenak, yang dibangunkan JLand Group, dijangka menarik pelaburan tambahan RM30–40 bilion dalam tempoh tiga tahun, didorong pertumbuhan pesat permintaan global terhadap pusat data, teknologi AI dan infrastruktur digital berkapasiti tinggi. | Foto MDJ Aisyah Mazalan
#JohorBahru – Ibrahim Technopolis (IBTEC) yang dibangunkan oleh JLand Group (JLG) di Sedenak dijangka mampu menarik pelaburan tambahan bernilai RM30 hingga RM40 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang dan keyakinan ini didorong oleh sentimen pertumbuhan pesat permintaan global terhadap pusat data, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital berkapasiti tinggi.
Sehingga kini, JLG telah berjaya membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM30 bilion melalui pembangunan pusat data fasa pertama, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Johor sebagai antara hab digital paling pesat berkembang di rantau Asia Tenggara, jelas YBhg Datuk Sr. Akmal Ahmad, Pengarah Urusan Kumpulan JLG.
Tambahnya, pembangunan fasa kedua pusat data IBTEC kini berada pada momentum kukuh untuk menarik pelaburan sehingga RM40 billion yang dipacu oleh keupayaan penyediaan tanah ‘greenfield’ berskala besar, infrastruktur tenaga yang mantap dan persekitaran pelaburan kompetitif yang memenuhi keperluan pemain global.
Selain komponen pusat data, IBTEC turut menampilkan pendekatan pembangunan mampan apabila menjadi perbandaran pertama di Malaysia yang menerima pensijilan Bandar Rendah Karbon Lima Bintang, sekali gus menawarkan kelebihan strategik kepada pelabur yang menitikberatkan pematuhan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pengurangan jejak karbon.
Pada masa sama, LiviLab yang bakal didirikan sebagai fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di kawasan Exclaim Discovery City turut memperkukuh ekosistem inovasi IBTEC, sekali gus menyokong kemunculan syarikat pemula (startup), syarikat teknologi tinggi dan pemain industri yang memerlukan ruang ujikaji dunia nyata.
Secara keseluruhan, IBTEC dijangka mampu berkembang sebagai bandar inovasi bernilai RM27 bilion bagi Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dengan anggaran bilangan populasi mencecah 330,000 orang apabila ia siap sepenuhnya dan secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri dan negara.
IBTEC telah dilancarkan secara rasmi oleh YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, selaku wakil rasmi DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, malam tadi.
#JohorSafeZone
#IbrahimTechnopolis
#JohorHomeOfChampions
#JohorCorporation
#JLandGroup
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


