KERAJAAN JOHOR ZAHIR TAKZIAH ATAS TRAGEDI LEMAS TANJUNG LOMPAT

Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) turut memberi perhatian serius terhadap kebajikan keluarga mangsa selain memastikan sokongan dan bantuan sewajarnya disalurkan kepada murid serta warga sekolah. | Foto FB Dr. Naqib Ghazali
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga serta waris mangsa insiden lemas melibatkan enam remaja di Pantai Tanjung Lompat, Kota Tinggi.
Dalam kejadian tersebut, dua mangsa disahkan meninggal dunia, dua berjaya diselamatkan manakala dua lagi masih dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), jelas YB Tuan Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.
Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) turut memberi perhatian serius terhadap kebajikan keluarga mangsa selain memastikan sokongan dan bantuan sewajarnya disalurkan kepada murid serta warga sekolah yang terkesan akibat tragedi berkenaan.
Enam remaja yang terlibat terdiri daripada empat murid Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Easter, Kota Tinggi, seorang pelajar Kolej Vokasional Batu Pahat serta seorang remaja yang tidak bersekolah.
Pihak sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi turut diminta memantau keadaan murid dan warga sekolah yang terkesan termasuk menyediakan sokongan psikososial menerusi Unit Bimbingan dan Kaunseling mengikut keperluan.
Pada masa sama, pihak sekolah akan membantu keluarga mangsa dalam urusan kebajikan dan dokumentasi berkaitan termasuk perkara melibatkan perlindungan takaful murid tertakluk kepada syarat serta ketetapan yang berkuat kuasa.
Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan, agensi penyelamat, petugas kesihatan, orang awam serta semua pihak yang terlibat dalam operasi SAR di samping menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.
#JohorSafeZone
#PantaiTanjungLompat
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepat
Pantas
#MajuJohor



