INSTITUSI KELUARGA TERUS DIBERI PERHATIAN


Kira-kira 500 orang ibu diraikan pada Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Johor di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Begitulah perumpamaan melambangkan kehebatan seorang ibu dalam mencorak kehidupan anak-anak agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

 

Menginsafi peranan seorang ibu tiada taranya, seramai kira-kira 500 ibu diraikan pada Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Johor yang menjadi wadah terbaik bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka yang disifatkan sebagai tidak terbalas meskipun dengan wang ringgit atau segunung emas.

 

Pada sambutan bertemakan ‘Terima Kasih Ibu’ itu juga mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meraikan dan menyokong peranan penting kaum ibu terhadap pembangunan modal insan menerusi pelbagai inisiatif dan program yang menjadi sistem sokongan kepada institusi keluarga dalam negara.

 

Antara program dilaksanakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Johor termasuk menyediakan pendidikan keibubapaan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ‘parenting’ dalam menghadapi cabaran masa kini.

 

Selain itu, aspek kesihatan turut diberi perhatian sewajarnya oleh LPPKN Negeri Johor menerusi pengoperasian Klinik Subfertiliti yang telah membantu seramai 4,186 pasangan suami isteri mendapatkan rawatan kesuburan pada kos yang berpatutan sejak tahun 2021.

 

Tidak cukup dengan itu, sokongan dan keprihatinan terhadap institusi keluarga di negeri ini juga diterjemah Kerajaan Johor yang memperuntukkan sebanyak RM120,000 bagi membiayai kos pendaftaran dan pemeriksaan klinikal payudara kepada 8,000 wanita yang berkelayakan.

 

Terdahulu, Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Johor Tahun 2024 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

 

Hadir sama ialah Dr. Mohd Azizudin Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) LPPKN; YBrs. Hanani Sapit, Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Negara dan YBrs. Dr. Salmi Jalina Jalil, Pengarah LPPKN Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor