MISKIN TEGAR JOHOR MENURUN HAMPIR 40 PERATUS


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Jumlah miskin tegar menurun daripada 4,378 kepada 2,647 Ketua Isi Rumah (KIR) iaitu penurunan sebanyak 39.5 peratus, hasil usaha pasukan petugas yang ditubuhkan untuk memutihkan data miskin tegar secara besar-besar pada tahun lalu.

 

Meskipun positif dengan penurunan tersebut, Kerajaan Negeri memohon Ahli-Ahli Dewan Negeri Johor melakukan semakan ke atas data sedia ada seterusnya melakukan turun padang bagi mengenal pasti sekiranya ada lagi keluarga yang tercicir dan perlu dibantu.

 

Seruan itu berikutan terdapat KIR yang tidak layak masih lagi menerima bantuan, malah ada KIR sudah meninggal dunia masih di dalam senarai serta ada yang menolak bantuan kerana merasakan tidak layak semasa proses pemutihan data dilaksanakan.

 

Kerajaan Negeri berterima kasih kepada semua Ahli Dewan Negeri Johor, Pegawai Daerah dan kakitangan, Ahli Majlis, Penghulu dan Ketua Kampung serta Ketua Jabatan dan Agensi Negeri yang terlibat dalam usaha pemutihan miskin tegar sejak tahun lalu.

 

Selain itu, titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor agar tiada seorang Ketua Isi Rumah (KIR) Bangsa Johor berstatus miskin tegar selepas tahun 2025 disambut baik Kerajaan Negeri menerusi inisiatif Johor Kasih berkonsepkan ‘Keluarga Angkat’.

 

Kerajaan Negeri turut berpandangan Negeri Johor tidak sepatutnya lagi mempunyai rakyat dibelenggu kemiskinan tegar berdasarkan bayaran zakat berjumlah RM388 juta diterima Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan peruntukan RM269 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun lalu.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor