ISKANDAR MALAYSIA RAIH RM41.4 BILION PELABURAN KOMITED

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat ke-34 Ahli Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA). | Foto Anwar Ibrahim
#IskandarPuteri – Wilayah pembangunan Iskandar Malaysia berjaya merekodkan pelaburan komited bernilai RM41.4 bilion pada tahun 2024, meningkat sebanyak 11 peratus berbanding RM37.2 bilion pada tahun sebelumnya, sekali gus menjadikannya sebagai nilai pelaburan tertinggi yang pernah diraihnya sejak koridor ekonomi itu diwujudkan.
Daripada jumlah signifikan itu, pelaburan yang telah direalisasikan berjumlah RM26.7 bilion, manakala RM36.1 bilion direkodkan bagi Pelaburan Asing (FI), diikuti Pelaburan Domestik (DI) bernilai RM5.3 bilion yang secara tidak langsung berjaya mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur terhadap Iskandar Malaysia.
Pencapaian memberangsangkan tersebut dikongsikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat ke-34 Ahli Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), semalam.
Prestasi positif itu juga turut mendorong Perdana Menteri untuk menegaskan tentang kepentingan persediaan bagi Iskandar Malaysia dalam mendepani cabaran keadaan ekonomi semasa dan perubahan landskap perdagangan dunia yang kian mencabar serta sentiasa dalam situasi tidak menentu.
Turut hadir ialah YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Dato’ Haji Mohammed Ridha Dato’ Abd Kadir, Pegawai Kewangan Negeri Johor.
Hadir sama ialah YBhg Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara; YB Dato’ Haji Mohd Noorazam Dato’ Osman, Ketua Eksekutif IRDA dan YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan).
#IskandarMalaysia
#IRDA
#Johor
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor