ISYARAT DYMM SULTAN JOHOR JELAS


Saranan DYMM Sultan Johor untuk meletakkan SPRM dan juga syarikat minyak negara iaitu Petronas di bawah Institusi Yang di-Pertuan Agong juga adalah cadangan yang baik dan tepat pada masanya. | Foto Royal Press Office.

 

Saranan DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar supaya rakyat Malaysia memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk membuktikan kemampuannya menerajui negara dan cadangan baginda supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Petronas diletakkan di bawah Institusi Yang di-Pertuan Agong dilihat sebagai isyarat jelas bahawa Baginda Tuanku Sultan inginkan Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang stabil, makmur dan harmoni.

 

Profesor Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Prof Dr Ismail Sualman, berkata pihaknya menyokong dan menyambut baik saranan daripada DYMM Sultan Johor kerana ia mampu membawa kestabilan negara terutama dalam tempoh mencabar lima tahun akan datang.

 

Profesor Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM yang juga Penganalisis Politik, Datuk Prof Dr Ismail Sualman.

 

“Saya amat bersetuju dan menyokong cara Baginda Tuanku Sultan kerana ia dilakukan secara berterus terang (mengenai visi dan misi) walaupun DYMM Sultan Ibrahim belum lagi dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong secara rasmi. Ini kerana ‘warning’ atau amaran daripada baginda itu ditujukan kepada semua pihak dengan cara yang amat jelas.

 

“Selain itu, saya merasakan negara juga perlu ada keselarasan di antara Perdana Menteri dengan orang nombor satu di Malaysia iaitu Yang di-Pertuan Agong. Ia sangat sesuai (dipraktikan) melihatkan dengan keadaan semasa negara hari ini, sekali gus ia akan dapat mewujudkan kestabilan politik di Malaysia kelak.

 

“(Negara ini) perlu ada kesepaduan dan solidariti daripada semua pihak. Ia termasuklah kepimpinan dari atas hingga ke bawah. Kita tidak mahu lagi tampuk pemerintahan negara sering bertukar kerana berpolitik (keterlaluan) sehingga merencatkan pertumbuhan ekonomi, menganggu-gugat keamanan, pelaburan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Media Digital Johor.

 

DYMM Sultan Ibrahim dalam temu bual bersama The Straits Times Singapura bertitah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mungkin membuat perubahan mendadak dalam tempoh setahun kepimpinannya dalam Kerajaan Perpaduan dan memerlukan ruang untuk membuktikan kemampuannya. Pada temu bual sama, Baginda Tuanku Sultan turut mencadangkan SPRM dan Petronas melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukannya kepada Parlimen seperti sekarang.

 

Dr Ismail yang juga penganalisis politik berkata, saranan DYMM Sultan Johor untuk meletakkan SPRM dan juga syarikat minyak negara iaitu Petronas di bawah Institusi Yang di-Pertuan Agong juga adalah cadangan yang baik dan tepat pada masanya.

 

“Bagi saya, ia (cadangan itu) adalah cara untuk mengelakkan wujudnya masalah integriti, isu penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. Jadi, saya kenal sangat (keperibadian baginda) kerana sebagai anak jati Johor, DYMM Sultan Johor sememangnya mempunyai cara yang tersendiri (dalam mengurus dan mentadbir).

 

“Mungkin orang tidak faham cara kepimpinan baginda tetapi ia mungkin berubah (selepas ini). Ini biasa kerana sifat politik dan ekonomi negara yang dinamik tetapi kita perlu lihat bagaimana cara baginda yang telah berjaya menyemarakkan ekonomi Negeri Johor dengan pembangunannya tersendiri yang dilakukan bersama Menteri Besar Johor sejak baginda dimasyurkan sebagai Sultan Johor, selama ini.

 

“Justeru, saya amat mengalukan cadangan Baginda Tuanku Sultan untuk kita tidak lagi terlalu berpolitik sehingga menyebabkan kita terhambat dengan permainan ahli politik yang sering sahaja mencari isu. (Lebih baik) tunggu sahaja lima tahun akan datang untuk pilihan raya dan seterusnya pertukaran kepimpinan mengikut proses demokrasi (jika ia berlaku kelak),” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor