ACL 2023: JDT MAHU TAMATKAN KEMPEN ACL DENGAN KEMENANGAN


Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari optimis anak buahnya akan menghasilkan kemenangan dan mengekalkan mutu permainan yang berkualiti, esok. | Foto MDJ Bayu Anggara.

 

Perlawanan terakhir Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi Kumpulan I yang akan berlangsung esok menyaksikan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap mahu menamatkan kempen tersebut dengan kemenangan, sekali gus mengutip tiga mata penuh menentang pasukan dari Thailand, BG Pathum United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

 

Pengendali pasukan JDT, Esteban Solari tampak optimis anak buahnya akan menghasilkan kemenangan dan mengekalkan mutu permainan yang berkualiti setanding dengan falsafah yang telah diterapkan selama ini bagi aksi perlawanan esok.

 

Solari mengakui, meskipun persiapan panjang telah dilakukan sebelum kempen ACL bermula, namun segalanya-galanya perlu dibuktikan dalam aksi 90 minit permainan di atas padang dan selepas mengharungi lima perlawanan di peringkat kumpulan, akhirnya JDT terpaksa akur apabila terlepas untuk melayakkan diri ke peringkat yang seterusnya.

 

Sementara itu, bagi pengendali BG Pathum United, Surachai Jaturapattarapong mengakui perlawanan terakhir esok akan menjadi perlawanan yang sukar dan berintensiti tinggi memandangkan pasukan Harimau Selatan itu akan mengekalkan motivasi yang tinggi selepas baharu sahaja memenangi kejuaraan Piala Malaysia 2023.

 

Beliau juga tidak menafikan JDT memiliki pemain berkualiti dan berbahaya seperti Bergson Da Silva serta Arif Aiman, namun beliau turut yakin anak buahnya akan mempamerkan aksi yang terbaik untuk menyekatkan sebarang asakan berbahaya JDT kelak.

 

#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor