JABATAN PERHUTANAN NEGERI PAHANG LAWAT TAMAN EKO RIMBA SUNGAI BANTANG LABIS


Jabatan Perhutanan Negeri Johor menerima Lawatan Penanda Aras daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang di Taman Eko Rimba Sungai Bantang, Labis / Gambar Ihsan Jabatan Perhutanan Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Perhutanan Negeri Johor menerima lawatan penanda aras daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang bertujuan untuk berkongsi ilmu dalam aspek pengurusan perhutanan di negeri masing-masing.

Selain itu, lawatan ke Taman Eko Rimba Sungai Bantang, Labis ini juga turut menjadi platform pertukaran idea dalam mengurus, menyelenggara dan saling mempromosikan Taman Eko Rimba yang terletak di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Johor.

Pada lawatan itu, seramai 30 pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang diberikan taklimat berkaitan dengan aspek pengurusan Taman Eko Sungai Bantang oleh Penolong Pegawai Hutan Daerah Johor Utara, Muhammad Hatta Abdullah dan Pegawai Renjer Hutan Labis, Zaharrudin Othman.

Selain itu, peserta kunjungan itu turut dibawa melihat fasiliti perkhemahan dan keunikan air terjun yang terdapat di Taman Eko Rimba Sungai Bantang.

Peserta lawatan turut diberi pengalaman memberi makanan kepada ikan jinak dari spesies Tengas dan Kelah yang terdapat di Taman Eko Rimba berkenaan.

Mereka juga diberi taklimat mengenai fungsi Taman Eko Rimba Sungai Bantang sebagai Pusat Konservasi Ikan Air Tawar yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Johor, selain menjadi pusat tarikan pelancongan.

Untuk rekod, Taman Eko Rimba Sungai Bantang mencatat kunjungan tahunan seramai 130,000 orang pelancong berikutan keadaan suasana hutannya yang indah dan air sungainya yang bersih serta menyegarkan.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor