AIR TERJUN GUNUNG LEDANG AKAN DIBUKA SEMULA SELEPAS PENYELENGGARAAN SELESAI


Antara lokasi menarik dan tumpuan di Taman Negara Johor Gunung Ledang, Air Tejun Ayer Puteh yang menggamit kehadiran pengunjung | Sumber Facebook Johor National Parks.

 

ISKANDAR PUTERI — Kawasan rekreasi eko-pelancongan Air Terjun Gunung Ledang (ATGL) akan dibuka semula kepada umum selepas kerja penyelenggaraan selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, kawasan rekreasi itu telah ditutup kepada pengunjung mulai 1 Jun lalu.

Menurutnya, ia bagi memberi laluan kepada kerja penyelenggaraan kawasan air terjun termasuk pembaikan kemudahan infra selepas Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) mengambil alih ATGL.

“PTNJ juga telah memajukan permohonan untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan negeri melalui Rancangan Johor Lima Tahun sebanyak RM5.5 juta bagi tujuan pembangunan kawasan ATGL untuk tempoh lima tahun akan datang.

“PTNJ akan berusaha untuk membuka semula kawasan rekreasi ATGL pada masa terdekat, tetapi setelah kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tangkak, Ee Chin Li mengenai keadaan terkini kawasan ATGL selepas pengambil alihan sejak Jun lalu.

Mengulas kronologi pengambil alihan, Raven Kumar berkata, melalui penetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bertarikh 19 Ogos 2015 telah bersetuju kawasan ATGL diambil alih PTNJ sebagai menyokong Pelan Induk Negeri Johor 2014-2023.

Katanya, lanjutan daripada itu, melalui MMK Johor bertarikh 11 September 2019 juga telah bersetuju di mana penyerahan kawasan ATGL melalui kaedah pajakan dan perizaban.

“Dengan berkuatkuasa notis milikan kosong pada 1 April 2022, pihak operator telah bersetuju untuk menyerahkan keseluruhan kawasan ATGL kepada PTNJ.

“Tempoh lanjutan pengosongan premis telah diberikan kepada pihak operator bagi memastikan prosedur pengambil alihan dan pengosongan premis berjalan lancar,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor