JAINJ CADANG LANGKAH PENAMBAHBAIKAN : ISU KEHILANGAN BATU NISAN


Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Jamaludin A. Hamid melakukan tinjauan ke Tanah Perkuburan Islam Taman Istimewa, Johor Bahru | Sumber Foto Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesyorkan beberapa langkah penambahbaikan kepada pengurusan Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau di Taman Istimewa, dekat Johor Bahru.

 

Langkah-langkah yang disifatkan wajar dan perlu diambil itu bagi mengelakkan kes kecurian batu nisan di tanah perkuburan terbabit daripada terus berlaku.

 

Antaranya, menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) seperti waktu ziarah bermula jam 7 pagi hingga 6 petang, dan urusan selepas tempoh ditetapkan perlu dirujuk pihak pengurusan.

 

Selain itu, pengurusan dicadangkan hanya menggunakan pintu utama untuk semua urusan, menambah kakitangan atau sukarelawan bagi meningkatkan aktiviti rondaan di samping menaiktaraf dan menyelenggara kawasan dari segi keceriaan, kebersihan dan pencahayaan.

 

Kesemua langkah penambahbaikan itu dicadangkan dalam lawatan dan tinjauan Pengarah JAINJ, Jamaludin A. Hamid di lokasi kejadian bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superitendan Lim Jit Huey, semalam.

 

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Masjid dan Surau, Mohd Taufik Shamsudin, wakil Masjid An-Najah Taman Daya, Ketua Kampung serta petugas-petugas tanah perkuburan terbabit.

 

Terdahulu, JAINJ meminta masyarakat untuk bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu kehilangan batu nisan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau di Taman Istimewa, dekat Johor Bahru.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor