JAKOA, JPN JALIN KERJASAMA BANTU ORANG ASLI MILIKI MYKAD


Pengarah JAKOA Negeri Johor, Faisal Long berkata, inisiatif tersebut dapat membantu masyarakat Orang Asli untuk membuat urusan dokumentasi yang pelbagai seperti mendapatkan lesen memandu, memohon bantuan dan lain-lain. | Foto MDJ, Saufi Razale

 

ISKANDAR PUTERI — Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor menjalin kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Johor bagi membantu masyarakat Orang Asli di negeri ini, memiliki kad pengenalan.

 

Pengarah JAKOA Negeri Johor, Faisal Long berkata, inisiatif tersebut dapat membantu masyarakat Orang Asli untuk membuat urusan dokumentasi yang pelbagai seperti mendapatkan lesen memandu, memohon bantuan dan lain-lain.

 

“Program ini adalah satu program khidmat bakti antara JAKOA dan JPN untuk membantu Orang Asli mendaftar kelahiran, perkahwinan dan menggantikan serta memohon kad pengenalan.

 

“Nak cari kerja, perlu ada MyKad, nak ambil lesen memandu dan buka akaun bank pun perlu ada MyKad. Jadi, kita nak beri kesedaran kepada masyarakat di sini tentang kepentingan mendaftar dengan JPN,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

Terdahulu, beliau menghadiri Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Kampung Orang Asli (KOA) Simpang Arang, Gelang Patah, di sini, pada Selasa.

 

Faisal berkata, program tersebut berjaya menarik hampir 100 orang penduduk yang mempunyai masalah dengan pendaftaran kelahiran dan kad pengenalan untuk mendaftar dengan JPN.

 

“Selepas ini, kita akan teruskan program ke KOA lain antaranya KOA Punjut dan KOA Pucur di Kluang. Seterusnya ke KOA Putting di Segamat dan KOA Peta dekat Mersing.

 

“JAKOA Negeri Johor juga menyasarkan untuk meluaskan program ini ke daerah lain pada tahun depan bagi memastikan masyarakat Orang Asli di negeri ini berdaftar,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor