JAMBATAN SUNGAI PULAI PEMANGKIN PEMBANGUNAN SOSIO EKONOMI PONTIAN


Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han ketika menjawab soalan di Persidangan Dewan Negeri Johor | Sumber Facebook Lee Ting Han.

 

ISKANDAR PUTERI — Projek pembinaan Jambatan Sungai Pulai menghubungkan Gelang Patah dengan Tanjung Bin antara usaha dan komitmen kerajaan dalam memangkin pembangunan sosio-ekonomi di Pontian termasuklah DUN Kukup.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, jambatan sepanjang 7.5 kilometer yang dijangka siap menjelang hujung tahun ini, akan memendekkan tempoh masa perjalanan dari Johor Bahru ke Pontian dari satu jam kepada 15 minit.

Menurutnya, ia secara langsung akan menggalakkan lagi aktiviti ekonomi dan seterusnya dapat meningkatkan lagi pendapatan serta taraf hidup warga setempat.

“Daerah Pontian di mana terletaknya DUN Kukup telah digazetkan sebagai zon bagi eko-pelancongan, aktiviti perikanan dan maritim, pemprosesan makanan dan bahan pembinaan.

“Justeru, pelbagai usaha telah dan akan dilaksanakan mengikut pelan perancangan kerajaan negeri bagi meningkatkan pelaburan baru di semua wilayah di Negeri Johor dan ianya termasuklah di DUN Kukup,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Dato’ Jefridin Atan mengenai perancangan kerajaan negeri untuk menarik pelabur ke DUN Kukup setelah jambatan Sungai Pulai disiapkan.

Ting Han berkata, kerajaan negeri menerusi Invest Johor sentiasa menggembleng usaha bagi menarik pelaburan baru sama ada dari dalam mahupun luar negara untuk manfaat rakyat Johor termasuk di DUN Kukup.

Katanya, Invest Johor giat menjalinkan kerjasama strategik bersama jabatan atau agensi berkaitan seperti MITI, MIDA, IRDA dan lain-lain bagi tujuan penyaluran serta perkongsian maklumat untuk hebahan dan promosi kepada prospek pelabur.

“Invest Johor juga aktif mengadakan sesi libat urus bagi menyantuni pelabur sedia ada dan pemain industri di negeri ini menerusi pelaksanaan inisiatif Friendly Johor,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor