JARINGAN TUNGGAL ARIF AIMAN BANTU JDT TEWASKAN SABAH


Pemain sayap lincah JDT, Arif Aiman diasak pemain Sabah FC | Sumber Facebook JOHOR Southern Tigers.

 

ISKANDAR PUTERI — Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan 1-0 ke atas Sabah FC dalam aksi Separuh Akhir Pertama Piala Malaysia 2022 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah, sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan memecah kebuntuan hasil tandukan kencang penyerang prolifik, Bergson da Silva pada minit ke-23, namun jaringan tersebut dinafikan kerana pemain JDT itu didapati berada dalam kedudukan offside.

Kesungguhan pelawat mengasak benteng pertahanan skuad The Rhinos menerusi beberapa siri serangan membuahkan hasil apabila percubaan Arif Aiman pada minit ke-34 menerjah gawang tuan rumah.

JDT dihadiahkan penalti dan berpeluang untuk menggandakan jaringan pada minit ke-58, tetapi ketangkasan penjaga gol Sabah FC, Damien Lim menggagalkan sepakan Bergson.

Harimau Selatan kehilangan khidmat Feroz Baharudin pada minit ke-73 selepas pemain pertahanan tersebut dilayangkan kad merah susulan dua kad kuning yang diterima dalam perlawanan berintensiti tinggi.

Pasukan bimbingan Hector Bidoglio bakal menerima kunjungan anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk aksi Separuh Akhir Kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 20 November ini.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor