LIMA NEGARA SERTAI HOKI PIALA SULTAN JOHOR 2026

YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Penyerahan Cek Cura Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2026 di Hotel Novotel, Johor Bahru. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2026 kini kembali serta bakal menghimpunkan lima negara iaitu Kanada, China, Jepun, Pakistan dan tuan rumah Malaysia bagi edisi ke-14 kejohanan berkenaan.
Penyertaan tahun ini membabitkan pasukan yang turut mencatat pencapaian di peringkat antarabangsa, termasuk Malaysia dan Pakistan yang masing-masing berjaya meraih pingat perak dan gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun baru-baru ini.
Jepun dan China pula masing-masing menduduki tempat kelima dan keenam, manakala kesemua pasukan berkenaan juga telah menempah tiket ke Kelayakan Hoki Piala Dunia FIH sebagai sebahagian daripada persiapan menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor yang mula dianjurkan pada 2011 itu kini memasuki edisi ke-14 dan akan berlangsung dari 17 hingga 24 Oktober 2026 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru.
Penganjuran kejohanan ini turut membuka peluang kepada skuad hoki muda Johor untuk menjalani latihan dan seterusnya mengharungi perlawanan persahabatan bersama pasukan luar negara yang menyertai kejohanan berkenaan, sekali gus memberikan pendedahan serta pengalaman tingkat tinggi secara langsung kepada pemain tempatan.
Untuk rekod, Malaysia pernah mencatat sejarah tersendiri apabila menjuarai edisi sulung pada penganjuran edisi 2011 selepas menewaskan Australia 3-2 dalam perlawanan yang diheret ke masa tambahan.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Penyerahan Cek Cura Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2026 di Hotel Novotel, Johor Bahru.
#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#SukanMDJ
#HokiPialaSultanJohor
#JohorSportsNation
#XtifJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


