JDT DALAM MISI MENCIPTA SEJARAH DI ACLE

Sidang media pra perlawanan pertama Pusingan 16 Terbaik Zon Timur, Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim. | Foto Wira Anggara
#IskandarPuteri – Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menerima kunjungan wakil Liga 1 Jepun, Sanfrecce Hiroshima dalam perlawanan pertama Pusingan 16 Terbaik Zon Timur, Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada esok.
Kedua-dua pasukan pernah bertemu di peringkat liga di mana Harimau Selatan tewas 1-2 di Hiroshima dan kini mahu tampil lebih garang di halaman sendiri.
Bercakap dalam sidang media pra perlawanan, Xisco Munoz selaku ketua jurulatih JDT menegaskan bahawa skuad kendaliannya telah bersedia untuk mempamerkan aksi terbaik dan berjuang secara kompetitif di pentas tertinggi kelab Asia.
“Saya seorang jurulatih yang bertuah kerana saya mempunyai skuad yang lengkap. Saya percaya kepada pemain-pemain dan mereka akan memberikan sepenuhnya untuk perlawanan esok,” ujar Xisco.
Selain itu, Bartosch Gaul, ketua jurulatih Sanfrecce Hiroshima mengakui kehebatan tuan rumah apabila beraksi di laman sendiri dan pasukannya akan berwaspada dengan segala yang akan berlaku esok.
“Kami menang pada perlawanan peringkat liga sebelum ini kerana JDT kekurangan pemain, esok adalah berbeza,” ujarnya.
Kehadiran penyokong setia JDT bakal membanjiri SSI yang akan memainkan peranan besar dalam menyuntik tonik luar biasa untuk Harimau Selatan dalam merealisasikan misi layak ke suku akhir buat julung kalinya.
Bagi yang akan ke SSI esok, JDT berbesar hati mengalu-alukan penyokong Harimau Selatan berbuka puasa di stadium sebelum perlawanan. Juadah berbuka puasa turut disediakan dan para penyokong boleh menikmatinya di kawasan parkir Zon 3. Selain itu, pelbagai hadiah menarik menanti penyokong bertuah yang hadir.
Luaskan Kuasamu Johor!
#ACLElite
#JDTvSFR
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


