JDT JULANG PIALA FA, JOHOR ISYTIHAR CUTI PERISTIWA ESOK

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengumumkan cuti khas sejajar dengan titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang sentiasa menunjukkan kepimpinan dan iltizam tinggi dalam memartabatkan bola sepak Johor hingga JDT terus unggul di peringkat domestik dan antarabangsa. | Foto FB Onn Hafiz Ghazi

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri mengisytiharkan Isnin, 15 Disember sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh negeri sebagai penghargaan atas kejayaan cemerlang Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA 2025/2026 dengan kemenangan bergaya 5-0 menewaskan Sabah FC sebentar tadi.

 

Cuti khas ini diumumkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor sejajar dengan titah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, yang sentiasa menunjukkan kepimpinan, visi, dan iltizam tinggi dalam memartabatkan bola sepak Johor sehingga JDT terus unggul di pentas domestik serta antarabangsa.

 

Walaupun cuti ini diisytiharkan, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tarikh berkenaan akan diteruskan seperti biasa bagi memastikan kelancaran jadual peperiksaan serta persiapan calon dan petugas tidak terganggu.

 

Kerajaan Negeri menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pemangku Sultan Johor atas usaha berterusan Baginda dalam membangunkan JDT sebagai kelab bola sepak berprestij sekali gus terus mengangkat nama Johor sebagai kuasa bola sepak tanah air.

 

Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor atas sokongan padu yang sentiasa mengiringi perjalanan Skuad Harimau Selatan dan menjadikan kejayaan ini sebagai pemangkin semangat bagi pasukan untuk terus mencipta kecemerlangan lebih gemilang pada masa hadapan.

 

Dalam perkembangan sama, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah menzahirkan ucapan tahniah kepada JDT atas kejayaan menjuarai Piala FA buat kali keempat berturut-turut.

 

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Johor dan penyokong JDT atas sokongan padu yang diberikan kepada Harimau Selatan, selain menegaskan bahawa kejayaan ini menjadi pemangkin kepada prestasi cemerlang pasukan pada masa akan datang.

 

#JDTvSabah
#PialaFA202526
#DemiLigaKita
#LigaMalaysia
#TheTMJeffect
#WhatCanYouDo
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor