JDT RACING TEAM TAK SABAR GEGAR LITAR SEPANG ESOK


JDT Racing Team menggunakan panel baharu yang didatangkan khas dari Itali.

 

JDT Racing Team mengintai kemenangan sensasi dalam penampilan sulung pasukan di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada pusingan kelima kancah Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 yang berlangsung pada 14 dan 15 September ini.

 

Steven Tan, prinsipal pasukan JDT Racing Team teruja untuk beraksi di Sepang kerana pasukannya memiliki kelebihan beraksi di ‘laman sendiri’ dan kehadiran penyokong tempatan seperti Boys of Straits dapat membakar semangat pelumba berpengalaman, Hafizh Syahrin.

 

JDT Racing Team menyasarkan untuk memenangi dua perlumbaan di Sepang bagi memastikan kedudukan yang selesa dalam kejuaraan ARRC sekali gus tidak berada dalam tekanan pada pusingan terakhir di Buriram, Thailand pada Disember nanti.

 

Steven menegaskan jentera Ducati Panigale V4R yang dikendalikan Hafizh Syahrin mempunyai kekuatan di Sepang, selain turut mendapat khidmat khas ketua mekanik dari Ducati Factory sebagai tonik untuk mencipta kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

 

Istimewa untuk pusingan kali ini, JDT Racing Team akan menggunakan panel baharu yang didatangkan khas dari Itali, menggunakan bahan berkelas MotoGP, sekali gus meningkatkan lagi imej dan jenama JDT dalam sukan permotoran antarabangsa.

 

Selepas mengharungi empat perlumbaan dalam kalendar ARRC musim ini, Hafizh Syahrin menduduki tangga kedua keseluruhan dengan kutipan 110 mata, enam mata di belakang Andi Farid Izdihar yang menunggang jentera Honda.

 

Pusingan kelima ARRC 2024 hujung minggu ini dijangka menjadi tumpuan dengan kemasukan ke litar dibuka secara percuma sempena ulang tahun ke-25 Litar Antarabangsa Petronas Sepang.

 

Semoga berjaya Pescao #55!

 

#AsiaRoadRacingChampionship
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor