JDT X PSG: KERJASAMA LUAR BIASA LEBIH DARIPADA BOLA SEPAK

Pertemuan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim dan Nasser Al-Khelaifi, Presiden Kelab Bolasepak Paris Saint-Germain di Qatar pada 2024 dan di Johor pada 2026.

 

#IskandarPuteri – Hubungan baik antara Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) bukan sekadar hubungan biasa antara dua entiti sukan. Ia melambangkan jalinan strategik antara dua kelab yang dipimpin oleh dua individu berpengaruh yang mempunyai cita-cita tinggi dan visi kepimpinan jelas.

 

Keakraban DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik JDT dan Nasser Al-Khelaifi, Presiden PSG juga merupakan Pengerusi Qatar Sports Investment (QSi) sering terserlah melalui pertemuan di peringkat tertinggi sekali gus menunjukkan kerjasama dan persefahaman dalam membina jenama bola sepak moden yang berjaya. Persamaan di antara kedua-dua tokoh ini adalah kedua-duanya bukan sekadar pemilik kelab, malah merupakan arkitek utama dalam mentransformasikan kelab sehingga menjadi satu kuasa dominan dalam bola sepak di rantau masing-masing.

 

Kehadiran Nasser Al-Khelaifi bersama delegasi PSG ke Negeri Johor pada 3 Januari 2026 turut menjadi simbolik kunjungan peribadi atas dasar kepercayaan dalam persahabatan dan kerjasama akan datang serta menjadi kunjungan balas kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail selepas kali terakhir mereka berdua bertemu pada bulan lalu di Doha, Qatar.

 

Januari 2025 merupakan detik bersejarah bagi JDT di mana DYAM Tunku Mahkota Ismail telah mengadakan pertemuan dengan delegasi PSG diketuai oleh Daniel Markham, Ketua Kakitangan kepada Nasser Al-Khelaifi, di mana satu persetujuan prinsipal dicapai untuk menjalin kerjasama antara juara Ligue 1 Perancis itu dengan JDT. Beberapa aspek telah dibincangkan termasuk ‘multi-club partnership’ dengan kelab-kelab bola sepak dimiliki oleh QSi, pembangunan bola sepak peringkat akar umbi, infrastruktur, penjenamaan serta perkongsian kepakaran & teknologi.

 

Selain pertemuan dan perbincangan berkenaan dengan bola sepak, DYAM Tunku Mahkota Ismail turut mengadakan lawatan kerja bertemu dengan individu penting dalam Kerajaan Qatar bagi membincangkan perkara membabitkan pelaburan, pelancongan dan ekonomi yang akan mengeratkan lagi hubungan dan memanfaatkan Negeri Johor dan Qatar. Baginda turut dibawa melawat ke fasiliti-fasiliti sukan di Qatar dan dijemput sebagai tetamu khas bagi menyaksikan sesi latihan PSG dan perlawanan Trophee des Champions antara juara Ligue 1 tersebut dan AS Monaco di Stadium 974, Doha, Qatar.

 

Qatar terkenal dengan kemudahan fasiliti sukan bertaraf dunia, antaranya Doha Sports City yang merupakan sebuah kompleks sukan seluas 250 hektar yang dimiliki oleh Aspire Zone Foundation. Kompleks tersebut telah ditubuhkan sebagai destinasi sukan antarabangsa sekitar tahun 2003 dan juga menempatkan sebuah pusat pendidikan Akademi Aspire untuk pembangunan sukan peringkat akar umbi. Secara tidak langsung, hubungan baik antara Johor dan Qatar ini memberi manfaat dalam pembangunan atlet dan pembinaan Kompleks Latihan JDT yang bakal bermula tidak lama lagi.

 

Tidak dilupakan pertemuan antara DYAM Tunku Mahkota Ismail dan Badr Mohamed Al-Meer, CEO Qatar Airways. Perbincangan tersebut telah memanfaatkan Negeri Johor dengan rangkaian penerbangan luas Qatar Airways dan dapat meningkatkan ekonomi Johor. Bayangkan, satu hari nanti Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menerima penerbangan terus Doha ke Johor Bahru.

 

“Adalah satu penghormatan dapat bertemu dengan Pengerusi Qatar Sport Investment dan Presiden Paris Saint-Germain, Nasser Al-Khelaifi. Sesuatu yang besar akan berlaku tidak lama lagi. Sesuatu yang belum pernah kami lakukan sebelum ini. Alhamdulillah.” – DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada Disember 2024.

 

DYAM Tunku Mahkota Ismail telah merevolusikan JDT menjadi kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak negara dan kuasa bola sepak yang disegani di peringkat Asia, manakala Nasser Al-Khelaifi telah mengangkat PSG menjadi jenama global dan juara di Eropah.

 

Kedua-dua tokoh ini mempunyai persamaan dan ciri-ciri kepimpinan yang berwibawa, mereka berdua juga telah membuat pelaburan besar dalam menghasilkan bakat dan infrastruktur bertaraf dunia, malah memiliki azam dan usaha yang tinggi untuk mengangkat tahap kecemerlangan baharu dalam pengurusan bola sepak moden. Pemimpin yang tidak hanya mengejar trofi kemenangan, tetapi membina legasi berkekalan untuk masa hadapan.

 

Adakah kita semua bakal menyaksikan JDT tempuh pra musim di Qatar dan berentap bersama-sama kelab bola sepak di bawah kelolaan QSi? Atau penyokong JDT bakal dikurniakan perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu PSG di Stadium Sultan Ibrahim nanti?

 

Luaskan Kuasamu Johor!

 

#JohorSafeZone
#WhatCanYouDo
#TheTMJeffect
#HomeOfChampions
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor