JMR RAIH PODIUM PENAMPILAN SULUNG PERLUMBAAN BATHURST

Kejayaan meraih podium ini memberikan suntikan semangat kepada JMR menjelang pusingan seterusnya Intercontinental GT Challenge di Nürburgring, Jerman pada 14 hingga 17 Mei depan. | Foto Johor Racing

 

#IskandarPuteri – Johor Motorsports Racing (JMR) mencipta kejayaan sensasi apabila muncul naib juara kategori Pro-Am pada penampilan sulung jentera Chevrolet Corvette dalam perlumbaan tahan lasak berprestij Bathurst 12 Hour 2026 di New South Wales, Australia.

 

Beraksi menggunakan jentera Z06 GT3.R, kereta #99 menamatkan saingan di tempat ke-14 keseluruhan selepas melengkapkan 261 pusingan di Litar Mount Panorama dalam perlumbaan pembukaan musim Intercontinental GT Challenge.

 

Barisan Pro-Am terdiri daripada YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor bersama Ben Green serta Jordan Love.

 

Pasukan Pro-Am mempamerkan pemanduan konsisten sejak awal perlumbaan dengan membuat peningkatan posisi signifikan sebelum mengekalkan kedudukan podium meskipun perlumbaan dipenuhi pelbagai insiden di litar.

 

Bagi YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj, pencapaian ini adalah hasil kerja keras seluruh pasukan dan detik bermakna apabila dapat berkongsi kejayaan podium bersama YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj yang membuat penampilan pertama di Bathurst.

 

Sementara itu, YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj pula menzahirkan rasa bangga menjadi sebahagian daripada debut Corvette di Bathurst dan gembira berjaya menamatkan perlumbaan di podium meskipun berdepan cabaran.

 

Kejayaan meraih podium ini memberikan suntikan semangat kepada JMR menjelang pusingan seterusnya Intercontinental GT Challenge di Nürburgring, Jerman pada 14 hingga 17 Mei depan.

 

#JohorSafeZone
#SukanMDJ
#JohorMotorsportsRacing
#IntercontinentalGTChallenge
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor