JOHOR BAKAL JADI HAB INSULIN TERBESAR DUNIA


YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor (dua dari kiri) mengadakan lawatan ke fasiliti Biocon di Kawasan Industri SILC. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#IskandarPuteri – Syarikat biofarmaseutikal terkemuka Asia yang berpangkalan di India, Biocon Sdn. Bhd (Biocon) kini merancang untuk menambah pelaburan di negeri ini bernilai hampir RM1.1 bilion yang akan digunakan bagi melaksanakan fasa kedua pembangunan fasiliti insulin, sekali gus akan menjadikannya sebagai pengeluar bahan perubatan berkenaan yang terbesar di dunia.

 

Memulakan pelaburan di Johor dengan nilai RM1.6 bilion pada tahun 2011, fasiliti Pusat Kecemerlangan Biocon yang terletak di Kawasan Industri SILC telah menyediakan lebih 900 peluang pekerjaan dengan 97 peratus adalah warganegara, termasuk 80 peratus daripadanya terdiri daripada graduan pemegang ijazah.

 

Selain itu, Biocon turut menjalinkan kerjasama dengan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) serta institusi pendidikan tempatan bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja domestik dalam sektor bioteknologi seterusnya memperkukuh daya saing Johor sebagai hab utama dalam industri farmaseutikal global.

 

Sejak beroperasi pada tahun 2016, kemudahan pembuatan insulin terbesar di Asia ini juga telah memberi kesan positif terhadap penurunan 50 peratus harga insulin di pasaran yang pada masa sama telah memberi manfaat besar kepada rakyat dan sektor kesihatan awam dalam menyediakan rawatan berkualiti pada kadar mampu milik.

 

Sehubungan itu, Kerajaan Johor juga komited untuk turut membantu dan memudahcara pelaburan pembinaan fasiliti baharu Biocon yang bukan sahaja bakal melonjak kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan berimpak tinggi tetapi berpotensi membuka lebih 300 peluang pekerjaan baharu bergaji premium dalam sektor farmaseutikal.

 

Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor bersama YB Dato’ Mohd Noorazam Osman, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) mengadakan lawatan ke fasiliti Biocon, pada Rabu.

 

#JohorDestinasiPelaburanUnggul
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor