TREN ETS MULA KE SEGAMAT HARI INI


Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menghubungkan Stesen Kuala Lumpur (KL) Sentral ke Stesen Segamat. | Gambar hiasan

 

#IskandarPuteri – Penduduk di daerah Segamat kini boleh menikmati pilihan perjalanan pengangkutan awam yang lebih selesa apabila perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) akan memulakan operasinya hari ini.

 

Perkhidmatan ETS yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menghubungkan Stesen Kuala Lumpur (KL) Sentral ke Stesen Segamat, sekali gus bakal meningkatkan kemudahan pengangkutan awam dan mempercepat perjalanan antara negeri.

 

Selain itu, Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) sepanjang 192 kilometer (KM) yang menghubungkan antara Gemas, Negeri Sembilan dan Johor Bahru dijangka bakal membawa perubahan besar kepada sistem pengangkutan keretapi di Johor yang akan merangkumi 11 hentian utama merentasi empat daerah iaitu Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru.

 

Menerusi perkhidmatan ETS ini juga akan membolehkan penduduk di kawasan terlibat menikmati perkhidmatan kereta api yang lebih pantas, selesa dan cekap selain ia diyakini dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya serta menawarkan alternatif perjalanan pada kos yang lebih efektif.

 

Pengoperasian penuh perkhidmatan ETS yang dijangka siap sekitar Ogos depan berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, memudahkan pergerakan pelancong serta memperkukuh kesalinghubungan pengangkutan awam antara negeri, sekali gus menambah kepelbagaian mod pengangkutan di Johor.

 

Perkhidmatan ETS dilihat mampu membawa antara 300 hingga 500 penumpang dalam satu-satu masa, selain mampu memendekkan tempoh perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur selama tiga jam 30 minit berbanding mod kenderaan pengangkutan awam biasa.

 

#ETS
#ETSJohorKL
#Keretapi
#KTMBerhad
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor