JOHOR BAKAL TERIMA PELABURAN RM1 BILION


YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Maggie Wang, Pengerusi LianheTech Chemical Technology Ltd. di pejabat Invest Johor.

 

LianheTech Chemical Technology Ltd. (LianheTech), syarikat terkemuka China dengan kepakaran pengeluaran bahan kimia farmaseutikal, perlindungan tanaman dan bahan-bahan maju mengumumkan pelaburan bernilai kira-kira RM1 bilion untuk membina kemudahan baharu di negeri ini.

 

Dijangka mencipta 400 peluang pekerjaan berkualiti tinggi dalam sektor termaju, pelaburan LianheTech menterjemah keyakinan potensi ekonomi dimiliki Johor selepas mengadakan pertemuan bersama Kerajaan Negeri di Shanghai pada tahun lalu.

 

Fasiliti baharu tersebut kelak akan memberi tumpuan kepada pengeluaran bahan kimia berteknologi tinggi bagi memenuhi permintaan global dan serantau selari aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 untuk mentransformasi Malaysia menjadi sebuah negara industri yang berdaya saing, mampan, dan berinovasi tinggi.

 

Pelaburan strategik itu turut membawa manfaat dari aspek peluang pekerjaan sektor teknologi dan sains, pemindahan teknologi canggih, mempercepat inovasi dan pembangunan modal insan, mengukuhkan ekosistem sektor kimia dan menjadikan negara hab serantau bahan kimia khusus serta pemindahan amalan pembuatan lestari.

 

Bagi menjayakan pelaburan yang akan melengkapkan ekosistem sektor kimia Malaysia, memperkukuh daya saing industri tempatan dalam pasaran global, Invest Johor akan memainkan peranan dan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

 

Terdahulu, YB Tuan Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Maggie Wang, Pengerusi LianheTech Chemical Technology Ltd. di pejabat Invest Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor